Wednesday 4 June 2014

Rogol: Anggota Polis Dipenjara 15 Tahun, Lapan Sebatan


Diterbitkan: Isnin, 2 Jun 2014 8:44 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BARU: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah merogol seorang remaja berusia 14 tahun, lima tahun lepas.

Hakim Mohd Yusoff Yunos menjatuhi hukuman itu terhadap Sarjan Mejar Mahmad Abidin, 57, yang juga bekas ketua sebuah balai polis di sini, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahmad didakwa merogol remaja itu di Balai Polis Binjai di sini pada 2.30 petang, 15 Oktober 2009.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Presiden, Setiausaha Kerja Umno Fail Saman Fitnah Terhadap Malaysiakini


Diterbitkan: Selasa, 3 Jun 2014 3:35 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua editor dan ketua pengarang laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lalu.
Writ saman difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada Jumaat lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Media memperoleh writ saman itu pada Selasa.

Najib dan Ab Rauf (bagi pihak Umno) menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini.com, Steven Gan dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?'.

Kedua-dua artikel itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu.

91 Kes Rogol Di Kelantan Lima Bulan Pertama 2014


Diterbitkan: Selasa, 3 Jun 2014 11:40 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BARU: Polis Kelantan berkata 91 kes jenayah rogol dilaporkan di negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama 2014, 88 daripadanya berjaya diselesaikan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ia menjurus kepada penahanan 90 individu.

Menurutnya, 92 kes rogol dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Insiden terbaharu yang mendapat perhatian ramai adalah kes dua remaja berusia 15 tahun dan 17 tahun yang dilaporkan dirogol sekumpulan lelaki di sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian di Ketereh, 20 Mei lalu.

Dalam pada itu, Jalaluddin menarik perhatian pihaknya menyelesaikan 214 daripada 225 kes rogol sepanjang 2013 yang menyaksikan 161 individu ditahan.

32 Kes Aset Hilang Dalam 4 Tahun - Polis Pulau Pinang


Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 1:06 PM

Pistol dan gari antara aset polis Pulau Pinang yang hilang dalam tempoh empat tahun.
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang merekodkan 32 kes kehilangan aset meliputi peralatan persenjataan seperti kelopak peluru, senjata api, motosikal dan gari dari tahun 2010 hingga 2013.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sejumlah 16 kes telah selesai dan tujuh daripadanya dikenakan penalti berjumlah RM15,555.80 kepada individu bertanggungjawab manakala selebihnya dalam proses tindakan.

"Bagi sembilan daripada kes yang telah selesai, satu kes dihapus kira, satu kes diberi surat teguran, satu kes melibatkan anggota bersara, satu kes dikenakan tindakan tatatertib dan lima kes ditutup," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Rabu.