Tuesday 10 March 2015

Polis Tembak Mati Dua Suspek Samun, Bunuh


Diterbitkan: Isnin, 9 Mac 2015 5:10 PM
  (Ubah saiz teks)
TAPAH: Polis menembak mati dua lelaki disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh dalam kejadian berbalas tembakan di Air Kuning di sini pada 23 Feb lepas.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.30 pagi apabila Wong Chun Ming, 41, dan Lee Yoke Kong, 62, yang menaiki kereta Proton Waja, melepaskan tembakan ke arah polis yang mengejar mereka selepas enggan diperiksa pihak polis.
Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kemudian membalas tembakan dan menembak mati kedua-dua lelaki, katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Tapah, Isnin.
Beliau berkata anggota polis berkenaan sedang menjalankan rondaan bagi Ops Cantas dan Ops Limau ketika terserempak dengan kereta kedua-dua lelaki yang berada di tepi jalan di kawasan Kampung Gajah menghala Air Kuning, sebelum menghampiri kereta itu, yang kemudiannya memecut laju.

SPRM Sahkan Tahan CEO Anak Syarikat Felda


Diterbitkan: Isnin, 9 Mac 2015 7:25 PM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuat tangkapan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Felda pada 1 Mac lepas.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata CEO terbabit masih ditahan reman sehingga esok.
Beliau berkata SPRM turut menahan seorang ahli perniagaan pada 26 Feb lepas.
"Dia (ahli perniagaan terbabit) ditahan reman sehingga 5 Mac dan disambung reman selama empat hari sebelum dibebaskan pada 7 Mac lepas," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Kedua-dua mereka yang berusia 44 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyeleweng wang anak syarikat Felda berhubung pembelian sebuah hotel di Port Dickson bernilai lebih kurang RM40 juta.
Beliau berkata sebanyak 23 individu diambil keterangan setakat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 a(A) Akta SPRM 2009.

Polis juga akan siasat PM isu 1MDB



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi menyiasat perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata pasukan itu akan melibatkan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara.

Katanya, kes itu disiasat bawah Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga akan disiasat, Khalid menjawab “ya”.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut perkara itu.

Syarikat pelaburan cetusan ilham perdana menteri pada 2008 itu kini berdepan kritkan hebat pembocor maklumat dan pembangkang.

Ketika asakan memuncak, Najib mengarahkan Ketua Akaun Negara menyiasat akaun 1MDB sebelum diteliti oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).