Monday 11 November 2013

Shahrizat Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Isnin menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Perbadanan Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Selain itu peguam Shahrizat, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu turut menarik balik saman fitnahnya terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
"Bagaimanapun saman dan tuntutan yang difailkan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) terhadap Mohd Rafizi akan tetap diteruskan mengikut jadual," katanya menerusi kenyataan yang dihantar melalui Firma undang-undang Shafee & Co pada Isnin.
Pada 19 Januari 2012, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Zuraida berhubung isu NFC.
Shahrizat mendakwa, Mohd Rafizi dan Zuraida melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan dirinya dengan NFC, sedangkan beliau tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro-Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science).

Pelantikan Ketuai Rayuan Kes Liwat Sah - Peguam

PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa pelantikannya oleh Peguam Negara untuk mengetuai pihak pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sah dan betul.
Beliau menggesa mahkamah tertinggi itu mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan (COA) yang menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakannya daripada mewakili dalam kes itu.
Muhammad Shafee, dalam hujahannya di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata satu kenyataan direkodkan daripadanya mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah semasa penyiasatan kes itu, namun beliau tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan mahupun pihak pembelaan untuk menjadi saksi.
Peguam kanan itu seterusnya berhujah ia hanya berupa dakwaan atau andaian di pihak perayu dan peguam belanya Karpal Singh yang berhujah bahawa beliau hadir pada masa yang sama dengan pengadu utama Mohd Saiful Bukhari Azlan di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
"Isu tanggapan awam mengenai kehadiran saya di sana dan 112 kenyataan seperti dihujahkan peguam bela, tidak ada kaitan dengan kes ini.".
"Mana bukti yang saya adalah saksi utama dalam kes ini? Ia hanya andaian, lagipun saya hanya hadir di satu sudut rumah tanpa mengetahui apa yang berlaku di sudut lain rumah itu," hujah Muhammad Shafee.
Beliau memberitahu panel hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff bahawa pelantikannya oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail adalah betul dan sah dan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) dan 379 Kanun Peosedur Jenayah.
Empat lagi hakim yang bersidang ialah Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Hasan Lah.
Sementara itu, Karpal memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa COA telah terkhilaf apabila tidak memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah tidak sah dan patut dibatalkan.
"Seksyen 378 CPC adalah jelas bahawa hanya DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang berkhidmat secara tetap dalam kerajaan boleh mewakili Pendakwa Raya dalam rayuan kes jenayah.
"Pelantikan peguam bela secara sementara hanya boleh dibuat mengikut Seksyen 379, tetapi bagaimanapun COA mendapati seksyen itu tidak relevan dengan pelantikan peguam dalam kes rayuan," hujah Karpal.
Karpal juga meminta panel hakim mengambil kira kegagalan COA yang tidak memutuskan bahawa Muhammad Shafee merupakan seorang saksi berpotensi dalam kes liwat itu apabila beliau meletakkan dirinya dalam kedudukan boleh menimbulkan konflik untuk melanggar Peraturan-peraturan Profesion Undang-undang 1978.
Hakim Md Raus menetapkan 21 Nov untuk Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakiman terhadap rayuan Anwar.
Pada 17 September, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali dan dua hakim Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan Ketua Pembangkang itu untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee. BERNAMA

Penarik Kereta, Juru Andam Bebas Tuduhan Edar 53kg Ganja

TAIPING: Seorang penarik kereta dan seorang juru andam dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin daripada tuduhan mengedar 53kg ganja, tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati pihakpendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua lelaki itu.
Mohd Kamal Johari, 42, dan Fairul Rizal Abdul Wahab, 35, kedua-duanya dari Kuala Lumpur didakwa mengedar 53,337 gram ganja di Km47.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, dekat sini pada 8.35 pagi, 30 Jan 2012.
Kedua-dua mereka yang diwakili peguam Charan Singh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan didapati bersalah.
Dalam penghakimannya, Ahmad Nafsy berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen jagaan, kawalan dan pengetahuan berhubung pemilikan dadah berkenaan olehkedua-dua tertuduh.
Katanya mahkamah juga mendapati berlakunya percanggahan dalam keterangan saksi-saksi penting pihak pendakwaan.
"Laporan kimia juga tidak boleh diterima kerana ahli kimia tersebut tidak dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar.-BERNAMA