KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Isnin menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Perbadanan Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Selain itu peguam Shahrizat, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu turut menarik balik saman fitnahnya terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
"Bagaimanapun saman dan tuntutan yang difailkan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) terhadap Mohd Rafizi akan tetap diteruskan mengikut jadual," katanya menerusi kenyataan yang dihantar melalui Firma undang-undang Shafee & Co pada Isnin.
Pada 19 Januari 2012, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Zuraida berhubung isu NFC.
Shahrizat mendakwa, Mohd Rafizi dan Zuraida melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan dirinya dengan NFC, sedangkan beliau tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro-Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science).
No comments:
Post a Comment