Tuesday, 21 April 2015

Demo antisalib: Bekas MP kata IGP pilih kasih



Bekas MP, Datuk Saifuddin Abdullah masih tidak berpuas hati dengan layanan berbeza oleh polis ke atas peserta demonstrasi pro-Umno dan Pakatan.

Saifuddin dalam kenyataannya membangkitkan, polis sebelum ini tetap menahan para aktivis dan MP lain berhubung perhimpunan Kita Lawan.

Walhal, Khalid boleh membuat semakan berhubung kehadiran abang IGP itu sendiri, Datuk Abdullah di demonstrasi antisalib di Taman Medan, kata Saifuddin.

“Kalau IGP boleh panggi sahaja orang yang hadir demo, habis kenapa ada yang sampai kena bermalam dalam lokap dan sebagainya?,” soal Saifuddin.

Siasatan Khalid ke atas Abdullah sebegitu disahkan sendiri oleh pemimpin akar umbi Umno itu kepadaMalaysiakini.

Layanan ini berbeza dengan tindakan polis yang menahan seramai lebih 100 orang, termasuk aktivis dan para MP, berhubung bantahan ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebelum ini.

Menurut Abdullah, beliau menjelaskan kepada Khalid kehadirannya pada perhimpunan tersebut sebagai orang tengah antara penduduk Taman Medan dan pihak gereja.

Katanya, belau membuat penjelasan itu apabila dihubungi Khalid melalui telefon.

"IGP dah telefon dan saya terangkan pada dia tentang isu ini. Ia tentang sekumpulan masyarakat bersama pihak gereja dan pihak gereja juga telah setuju untuk turunkan (salib). Jadi tiada isu.

"Dia (Khalid) cuma tanya saya. Dia panggil saya Lang. Dia tanya 'Lang, apa cerita?'. Kemudian saya terangkan.

"Lepas dengar (penerangan), dia kata OK," kata Abdullah.
 

Zahid tetap anggap protes antisalib menghasut



Berbeza dengan ketua polis negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berpendapat bantahan terhadap salib gereja di Petaling Jaya semalam sebagai menghasut.

“Sudah tentu, ya, ya, ya,” kata Zahid ketika ditanya pemberita sama ada bantahan penduduk di Taman Medan itu menghasut.

“Saya tidak kira siapa. Polis tidak kira siapa. Tindakan harus diambil terhadap mereka,” tambahnya.

Menjawab soalan lain, Zahid juga mengesahkan bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota Umno yang terlibat dalam acara kontroversi itu.

“Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu... kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam Umno, kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya,” tegasnya.

Pemimpin nombor satu polis Tan Sri Khalid hari ini berkata tiada unsur hasutan dalam perhimpunan itu yang menurutnya hanya isu masyarakat tempatan dan bukan agama.

Datuk Abdullah, abang Khalid dan pemimpin akar umbi Umno, antara penduduk di situ yang terlibat dalam perhimpunan semalam.

Khalid menjelaskan kehadiran abangnya, seorang pemimpin penduduk di situ, untuk menenangkan penduduk di situ daripada menjadi lebih agresif.

Husam cadang Tun M ketuai hisbah



Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik mengetuai badan bebas bagi memantau pentadbiran negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Husam berkata, jika bekas perdana menteri itu berani bersuara dalam isu pelbagai seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) paling tidak "kemungkaran" itu dapat dihentikan walau apa pun motifnya.

"Atas dasar itu, kenapa tidak kita membantu beliau dalam isu ini?" katanya.

Husam yang pernah menjadi exco kanan dalam kerajaan Kelantan sebelum diketepikan menteri besar baru negeri itu berkata, satu daripada penegasan pelaksanaan hukum hudud ialah menyelamatkan harta termasuk milik awam. 

"Dalam kes 1MDB, berapa besar jumlah wang awam yang menjadi pertaruhan?" katanya.

Menurut Husam, isu 1MDB bukanlah salah guna kuasa pertama yang menyebabkan kerugian besar negara.

Dengan keberanian Dr Mahathir, kata Husam, PAS boleh membantu bekas perdana menteri berkenaan dalam usahanya mengatasi krisis itu.

Katanya, Dr Mahathir perlu bergerak setapak ke depan menggagaskan suatu mekanisme bagi menghentikan kesilapan walaupun dilakukan oleh siapa saja atau mana-mana parti.