Tuesday, 21 April 2015

Zahid tetap anggap protes antisalib menghasut



Berbeza dengan ketua polis negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berpendapat bantahan terhadap salib gereja di Petaling Jaya semalam sebagai menghasut.

“Sudah tentu, ya, ya, ya,” kata Zahid ketika ditanya pemberita sama ada bantahan penduduk di Taman Medan itu menghasut.

“Saya tidak kira siapa. Polis tidak kira siapa. Tindakan harus diambil terhadap mereka,” tambahnya.

Menjawab soalan lain, Zahid juga mengesahkan bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota Umno yang terlibat dalam acara kontroversi itu.

“Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu... kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam Umno, kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya,” tegasnya.

Pemimpin nombor satu polis Tan Sri Khalid hari ini berkata tiada unsur hasutan dalam perhimpunan itu yang menurutnya hanya isu masyarakat tempatan dan bukan agama.

Datuk Abdullah, abang Khalid dan pemimpin akar umbi Umno, antara penduduk di situ yang terlibat dalam perhimpunan semalam.

Khalid menjelaskan kehadiran abangnya, seorang pemimpin penduduk di situ, untuk menenangkan penduduk di situ daripada menjadi lebih agresif.

Semalam, kira-kira 50 penduduk Taman Medan berhimpun di bangunan rumah kedai di mana gereja itu ditempatkan.
Gereja menurunkan lambang salib itu tidak lama selepas itu.

Friends of BN kutuk penduduk

Sementara itu, tidak seperti selalu, laman Facebook pro-BN berpengaruh Friends of BN juga hari ini mengutuk perhimpunan yang dianggap mereka “memaksa” gereja menurunkan salib itu.

Mereka mengingatkan kepada budaya hormat menghormati antara masyarakat berbeza agama.

“Sebagaimana umum tahu, masyarakat Melayu sekarang iaitu yang beragama Islam, ada yang sensitif mengenai tanda salib.

“Namun sekiranya iman dan kepercayaan orang Islam kuat, kita tidak perlu takut kepada lambang agama lain,” katanya.

Menegaskan Rasulullah SAW sendiri menghormati agama lain, Friends of BN juga berkata agama harus menjadi penjaga keamanan, bukan pencetus perbalahan.

No comments:

Post a Comment