Thursday, 14 November 2013

Yong Mungkin Bermasalah Jalani Hukuman Sebat

Yong Vui Kong
PETALING JAYA: Yong Vui Kong, rakyat Malaysia yang terlepas hukuman gantung kerana mengedar dadah di Singapura "gembira kerana masih berpeluang untuk hidup" tetapi bimbang dia mungkin tidak dapat menjalani hukuman sebatan.
Peguamnya M. Ravi berkata hari ini adalah hari yang paling menggembirakan dalam hidup Yong dan menyatakan penghargaan yang besar kepada semua yang bekerja keras untuk menyelamatkan Yong daripada ke tali gantung.
"Yong telah sedar kesilapannya dan telah insaf. Dia gembira mempunyai peluang meneruskan hidupnya," katanya dalam satu kenyataan.
Mahkamah Tinggi Singapura pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan terhadap Yong.
Hukuman berkenaan diputuskan ekoran Kerajaan Singapura menukar hukuman mati mandatori dalam kes-kes pengedaran dadah yang membolehkan banduan yang dijatuhi hukuman mati dijatuhkan hukuman yang lebih ringan jika mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.
Yong yang pada mulanya dijatuhi hukuman mati pada tahun 2009 kerana mengedar 47gm dadah pada tahun 2007 telah dinilai dan telah memenuhi syarat.
Ravi memberitahu Star Online bahawa Yong, 25, melutut di hadapan hakim dan penyokongnya di mahkamah apabila mendengar keputusan itu.
Peguam itu berkata Yong bagaimanapun bimbang dia mungkin tidak dapat mengambil hukuman sebat itu.
Ravi berkata beliau akan menulis surat kepada Penjara Singapura untuk mengatur doktor bagi memeriksa tahap kecergasan Yong.
"Dia adalah lemah dan tidak kuat. Beratnya kira-kira 50kg dan tingginya 1.77m. Dia kelihatan tidak cukup kuat untuk disebat," kata Ravi.

Buruh Didakwa Rempuh Anggota Polis

PETALING JAYA: Seorang buruh pengumpul sampah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap pertuduhan merempuh seorang anggota polis trafik yang boleh menyebabkan kematian, dua minggu lepas.
M. Rajakumar, 30, didakwa merempuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Koperal Mohd Redzuwan Mostapa, 24, dengan niat hendak melarikan diri daripada pemeriksaan, yang boleh menyebabkan kematian menggunakan kereta jenis Nissan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 9, Felda Bukit Cherakah, Sungai Buloh pada 1.40 pagi 31 Oktober lepas mengikut Sekyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA