Tuesday 7 October 2014

61 Rakyat Malaysia Tiba Dari Yaman Pada Selasa, Rabu


Diterbitkan: Isnin, 6 Oktober 2014 9:29 PM
Konflik terbaharu Yaman berlaku berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak menguasai beberapa institusi penting di Sana'a.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seramai 61 rakyat Malaysia telah meninggalkan Sana'a, ibu negara Yaman, dengan menaiki tiga penerbangan pada Isnin.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, seramai 41 orang daripada mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.55 pagi dan 8.30 malam Selasa.
Bakinya seramai 20 orang lagi dijangka tiba di KLIA pada 8.25 pagi Rabu, kata kementerian itu malam Isnin.
Kerajaan memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia berikutan keadaan semasa di Yaman selain sebagai langkah berjaga-jaga.

Surendran Fail Permohonan Rujuk Kes Hasutan Ke Mahkamah Tinggi


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 6:33 PM
Surendran
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Padang Serai, N. Surendran pada Jumaat menfailkan permohonan bagi merujuk kes hasutan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Lateefa Koya memaklumkan perkara berkenaan ketika kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Bache.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Oktober ini untuk mendengar permohonan Surendran.

Lateefa ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya menfailkan permohonan itu bagi memohon hakim Mahkamah Sesyen mempertimbangkan sama ada terdapat persoalan perlembagaan berkenaan Akta Hasutan yang patut dirujuk di Mahkamah Tinggi sebelum kes itu dibicarakan.

Pegawai Kastam Mengaku Tak Bersalah Terima RM1,000


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 6:22 PM
Thevakumar (tengah) dibawa anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat terhadap pertuduhan menerima wang berjumlah RM1,000 tanpa balasan daripada seorang individu tempatan, Mei lepas.

R Thevakumar, 38, Penguasa Kastam yang bertugas di Bahagian Import Eksport Cawangan Pelabuhan Selatan Kastam, Bagan Dalam, Pulau Pinang didakwa menerima wang tunai itu daripada seorang individu melalui akaun Maybank miliknya dengan mengetahui individu itu mempunyai urusan rasmi dengan jabatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Manis Enam, Taman Segar, Cheras pada 3.55 petang 14 Mei lepas mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pemandu Bas Parah Ditikam Wanita Dipercayai Kurang Siuman


Diterbitkan: Isnin, 6 Oktober 2014 6:53 PM
Gambar hiasan.
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Seorang pemandu bas Rapid Penang cedera parah selepas ditikam seorang penumpang wanita yang dipercayai kurang siuman dalam bas berkenaan di Relau dekat sini, Isnin.
Aisyamudin Yaacob, 26, yang sedang memandu ketika kejadian pukul 7 pagi itu cedera parah di paha kanan akibat ditikam beberapa kali.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, ketika kejadian terdapat beberapa penumpang lain di dalam bas.
"Siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang duduk berhampiran tempat pemandu tiba-tiba bangun dan terus menikam mangsa berulang kali menyebabkan bas berhenti dan wanita terbabit melarikan diri.

Kanak-Kanak Kritikal Terjatuh Dalam Kolam Renang


Diterbitkan: Isnin, 6 Oktober 2014 10:49 PM
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun didapati kritikal selepas terjatuh ke dalam kolam renang di sebuah kondominium di Bandar Baru Air Itam di sini petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kanak-kanak tersebut yang sedang bermain bersama dua orang kakaknya yang berumur 11 dan 16 tahun dipercayai tergelincir ke dalam kolam renang itu. 
Difahamkan mangsa yang tidak pandai berenang ditemui hampir lemas sebelum diselamatkan anggota keluarganya.
Menurut saksi, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)selepas tidak sedarkan diri ketika ditarik keluar dari kolam berkenaan.