Monday 15 July 2013

Mahkamah Pilihan Raya Tetapkan Tarikh Dengar Bantahan Awal Bagi Tiga DUN Di Perak

BATU GAJAH: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Isnin menetapkan tarikh untuk mendengar bantahan awal oleh pempetisyen dan responden terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hakim Pilihan Raya Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan 25 Julai sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal bagi kawasan DUN Manjoi dan 29 Julai bagi kawasan DUN Manong serta DUN Pasir Panjang.
Abang Iskandar menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili semua pihak terbabit dan peguam kanan persekutuan yang mewakili pegawai pilihan raya (RO) bagi setiap kawasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketika ditemui pemberita, peguam yang mewakili Barisan Nasional (BN) Badrul Hishah Abdul Wahab berkata Hakim turut menetapkan 17 dan 18 Julai ini untuk responden dan pempetisyen memfailkan hujahan bertulis.
Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Anas Mahadzir dan peguam mewakili PAS Aminuddin Zulkifli turut hadir di kamar Hakim pada Isnin.
Pada Jun lepas, calon PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) memfailkan petisyen untuk mengisytiharkan tidak sah dan membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi DUN Manjoi, DUN Manong dan DUN Pasir Panjang.
Pada PRU13, calon PAS Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dengan majoriti 132 undi di DUN Manjoi.
Bagi DUN Pasir Panjang, calon BN Rashidi Ibrahim menewaskan calon PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan dengan majoriti 304 undi manakala Mohamad Kamil Shafie daripada BN menang kerusi DUN Manong apabila mendapat majoriti 231 undi sekali gus mengalahkan calon PAS Jamil Dzulkarnain.- BERNAMA
  • Print this story