Tuesday 25 August 2015

CPO KL: Perhimpunan BERSIH 4 dianggap haram



 Hari ini, 4:15 pm      Hari ini, 4:18 pm

  
Perhimpunan yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur hujung minggu ini, dianggap 'tidak dibenarkan' atau haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata berdasarkan Seksyen 9 akta tersebut, pihak penganjur perlu mendapat kebenaran pemilik tempat.
Namun sehingga kini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertegas tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL serta kawasan sekitarnya, katanya.
"Kita akan ambil tindakan tegas (ke atas peserta) mengikut apa jua peruntukan yg ada. Undang-undang dah ada patuhilah ia," katanya dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin hari ini.
Tajuddin berkata pihaknya tidak mempunyai masalah membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium seperti mana dicadang Mhd Amin.
Sementara itu, Mhd Amin mengulangi pendirian tidak membenarkan perhimpunan diadakan di lokasi awam, khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL.
Beliau sebaliknya berkata pihaknya sedia membenarkan penganjur menggunakan Stadium Titiwangsa yang berada di bawah seliaan DBKL atau membantu mereka memohon Stadium Nasional Bukit Jalil daripada pihak Majlis Sukan Negara atau Stadium Merdeka daripada Permodalan Nasional Berhad.
- Bernama

EGM Majlis Peguam bincang isu derma Najib



5053
 Hari ini, 2:56 pm      Hari ini, 4:01 pm

  
Majlis Peguam memanggil sebuah mesyuarat agung luar biasa (EGM) membincangkan dakwaan gangguan ketara dalam siasatan kes derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas badan itu Jumaat lalu.
Dalam makluman kepada peguam-peguam, EGM itu ditetapkan pada 12 September tetapi tempat dan butiran lanjut agenda belum dimaklumkan buat masa ini.
“Perkara untuk dibincangkan dalam EGM termasuk laporan-laporan campur tangan dalam siasatan yang sedang berlangsung dalam isu aliran dana daripada SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) dan perpindahan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri...
“...dan juga langkah-langkah yang patut diambil Majlis Peguam untuk memperkukuh dan menjunjung kedaulatan undang-undang, dan untuk mengelakkan pentadbiran keadilan daripada menjadi sumbang,” menurut makluman itu.
Kes itu sebelum ini disiasat oleh pasukan khas empat agensi penguatkuasaan utama, termasuk polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara dan Jabatan Peguam Negara.
Ia bagaimanapun tidak lagi diteruskan selepas berlaku pertukaran peguam negara.
Majlis Peguam pada 17 Ogos lalu berkata tidak akan mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang dicadang kerajaan bagi menyelia pembiayaan politik.
Presidennya Steven Thiru (atas) berkata apa-apa perbincangan mengenai undang-undang baru perlu menunggu selesainya siasatan yang sedang berjalan terhadap pemindahan dana 1MDB.
Dakwanya, sesuatu sumbangan derma dalam akaun bank peribadi Najib, masih dalam definisi "suapan" bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.