Jumaat Oktober 18, 2013
PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya terlepas hukuman mati selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian anak perempuan wanita itu yang berumur tiga tahun, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, memerintahkan Wong Mei Ting, 26, dan Tan Peng Tong, 30, menjalani hukuman penjara 10 tahun dari tarikh mereka ditangkap pada 14 April, 2010.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki dan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Hakim Balia, sebelum menjatuhkan hukuman itu, berkata mereka patut amat berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya.
"Selepas mempertimbang rayuan dikemukakan peguam bela masing-masing dan hujahan timbalan pendakwa raya yang bijaksana, kami sebulat suara menjatuhkan hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah seksyen ini," katanya. Pada 19 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Wong dan Tan selepas mereka didapati bersalah membunuh Jasmine Lee Siew Hui di No. D-3-15, Blok D, Tingkat Tiga, Apartmen Bayu, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan antara tengah malam 1 Mac, 2010, dan 14 Mac, 2010.
Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu kanak-kanak perempuan itu mati akibat 'red hepatisation' (radang paru-paru), kerana berulang-kali disepak, dicubit dan dipukul dengan penyangkut baju.
Mahkamah juga diberitahu, pasangan itu malah meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri di rumah selepas mengikat tangan dan kakinya dengan tuala semasa mereka pergi makan angin ke Melaka.
Menurut laporan bedah siasat, terdapat sekurang-kurangnya 60 kesan luka di seluruh badan Siew Hui.
Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pihak pendakwaan manakala Wong diwakili peguam Eric T S Lai dan Tan oleh peguam Andrew Lourdes. -BERNAMA