Thursday, 12 September 2019

Jual MyKad: 20 termasuk pegawai JPN ditahan



    Polis menahan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) secara penipuan.
    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata suspek yang ditangkap di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu terdiri daripada 17 warga tempatan, dua warga China dan seorang warga India.
    "Kesemua individu berumur antara 32 sehingga 70 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan. Individu-individu ini meliputi ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia 'fraud'," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
    Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk 38 unit telefon bimbit, 34 pasport, lima salinan sijil kelahiran, 58 salinan pasport dan wang tunai.