Thursday 12 December 2013

Jururawat Didapati Bersalah Kahwin Kali Kedua Tanpa Bercerai Dengan Suami Perkahwinan Pertama

KOTA KINABALU: Seorang jururawat berusia 29 tahun yang berkahwin kali kedua tanpa bercerai daripada suami daripada perkahwinan pertama, didapati bersalah di bawah undang-undang adat dan dikenakan denda.
Suami kedua mangsa, yang mana identiti dan usianya tidak didedahkan turut didapati bersalah kerana mengahwini seorang wanita yang masih bergelar isteri kepada seorang lelaki lain merupakan kes poliandri pertama didengar di Mahkamah Bumiputera Penampang awal minggu ini.
Wanita itu dan suami keduanya yang mempunyai seorang anak daripada perkahwinan tersebut dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,500 di bawah undang-undang adat bumiputera oleh panel hakim yang diketuai oleh Ketua Anak Negeri Penampang, Marcus Jonioh.
Atas kesalahan berkahwin kali kedua tanpa bercerai atau bigami, wanita berkenaan dikenakan denda sebanyak RM1,500 (yang bersamaan dengan harga seekor haiwan ternakan biasanya lembu) dan sebanyak RM3,000 (harga dua ekor haiwan ternakan) atas kesalahan melakukan seks secara haram.
Suami kedua tertuduh juga didenda sebanyak RM4,5000 (harga tiga ekor haiwan ternakan). Mahkamah turut mengenakan denda RM1,500 bagi kos kes tersebut.
Dalam keputusan sebulat suara, Jonioh berkata pasangan berkenaan diarahkan supaya tidak meneruskan hubungan mereka atau berhadapan dengan denda tambahan.
Manakala budak lelaki yang dilahirkan daripada perhubungan haram itu sepatutnya ditinggalkan di bawah jagaan bapa sehingga mereka menyelesaikan isu penceraian kerana mahkamah adat tidak mempunyai bidang kuasa dalam memutuskan kes penceraian.
Mahkamah adat memberi masa selama sebulan kepada kedua-dua tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM10,500 atau mereka akan dipenjara jika gagal berbuat demikian.
Mahkamah adat telah bersidang untuk mendengar kes tersebut selepas suami pertama tertuduh yang identitinya tidak didedahkan, membuat aduan bahawa isteri dikahwininya di sebuah gereja di Penampang pada 2010 telah berkahwin dengan suami keduanya pada Julai tahun ini serta mendaftar perkahwinan mereka di Mahkamah Bumiputera Beluran selepas dia berpindah ke Sandakan.
(Wanita berkenaan dan suami pertamanya tidak mempunyai cahaya mata dan tiada butiran didedahkan sama ada perkahwinan yang dibuat di gereja itu telah didaftarkan walaupun di bawah undang-undang adat mereka dianggap sudah berkahwin. )

Tipu: Mahkamah Tinggi Perintah Ahli Perniagaan, Rakan Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang ahli perniagaan dan rakannya yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan menipu berjumlah RM143,890, membela diri.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan C.Yoganandha Moorthy, 39, dan Mercy Sumathi Christie, 44, daripada pertuduhan berkenaan.
"Setelah meneliti rekod rayuan dalam kes ini, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua responden dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya membela diri atas sembilan pertuduhan itu," katanya.
Beliau juga memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua responden membela diri dan menetapkan Selasa ini sebagai sebutan kes.
Pada 10 April tahun lepas, Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh melepas dan membebaskan Yoganandha Moorthy dan Mercy selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mereka berdepan enam pertuduhan menipu Wong Yoke Wan, 54, Tew Soo Guan, 32, Kong Shyang Kun, 32, dan Chan Kin Wai, 34, dengan menyerahkan cek yang tidak boleh ditunai bernilai RM93,250.
Cek itu bagi memperdaya mangsa untuk melakukan kerja-kerja pendawaian, membaiki paip, perkhidmatan mengangkat barang dan menyerahkan kunci rumah untuk disewa kepada tertuduh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 39, Jalan Langgak Golf Ampang Hilir dan No 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 22 Sept dan 30 Okt 2008.
Bagi tiga pertuduhan lagi, Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa menipu V. Kodivelu, 30, dengan menyerahkan cek bernilai RM50,640 sehingga mendorong mangsa menyerahkan komputer dan peralatannya di No 3, Lorong Ru Kedua Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 14 dan 21 Okt 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Allan Suman Pillai manakala peguam S.R. Srideevi Naidu mewakili Yoganandha Moorthy dan peguam A. G Kalidas mewakili Mercy. - BERNAMA