Monday, 2 March 2015

Himpunan 'Kita Lawan' 7 Mac tembusi global



Selain di Kuala Lumpur, himpunan solidariti terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat pada 7 Mac ini, juga akan diadakan di beberapa buah negara.

Sekretariat #KitaLawan mengalu-alukan keprihatinan dan inisiatif rakyat Malaysia khususnya anak muda yang berada di luar negara, menganjur perhimpunan itu, sekurang-kurangnya di enam negara pada waktu tempatan.

Antara lokasi perhimpunan itu ialah Old Palace Yard, London - berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom; di depan Bangunan Parlimen Australia, di Canberra, di depan Parlimen South Australia, di Adelaide dan di Liberty Square di Taipei, Taiwan.

Perhimpunan di Old Palace dan Liberty Square masing-masing berlangsung pada jam 11 pagi dan 7 malam waktu tempatan.

Manakala di Canberra dan Adelaide berlangsung serentak jam 4 petang waktu tempatan.

"Mereka bersolidariti demi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik serta menarik perhatian masyarakat antarabangsa mengenai (dakwaan) ketidakadilan, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah di Malaysia," kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.

Sekretariat itu juga memaklumkan perhimpunan itu bakal diadakan di beberapa bandar di Amerika Syarikat termasuk di New York; Jepun, New Zealand dan negara Eropah yang akan dimaklumkan melalui laman sosial facebok rasmi mereka kelak.

Pembentukan gabungan yang dinamakan "Kita Lawan" dibuat sebagai reaksi terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 14 Februari lalu, seramai 400 orang berhimpun di depan pusat membeli belah Sogo dan berjalan hingga ke Pudu Raya bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang juga ketua umum PKR.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran supaya rakyat tidak mengadakan sebarang demonstrasi, namun gabungan itu tidak mengendahkannya.

Ekoran itu aktivis siswa Adam Adli, Penyelaras Jingga 13 Faris Musa dan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan di bawah Seksyen 143, Kanun Keseksaan Akta Himpunan Aman 2012.  
 

No comments:

Post a Comment