Wednesday, 22 April 2015

Syed Hamid: K'jaan perlu jawab Dr M



Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa kerajaan tampil menjawab segala dakwaan dikemukakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tulisannya di Facebook, Syed Hamid berkata, kerajaan tidak harus berdiam diri dalam perkara itu.

Katanya, perkara itu merupakan antara sembilan cabaran yang perlu dihadapi BN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Apakah cabaran BN untuk pilihan raya umum ke-14? Strategi tidak jelas. Kredibiliti dipertikai. Pendirian berbeza antara pemimpin. Jawapan kepada isu tidak meyakinkan. Pemimpin cenderung menunjukkan kemewahan.

"Soalan-soalan pokok Tun Mahathir tidak terjawab. Penggunaan media sosial yang meluas dan memihak kepada pembangkang.

"BN tidak ke depan dalam menyerang. Kelihatan lemah kerana BN sendiri tidak mantap," tulis Syed Hamid.

Katanya, keadaan politik yang "gawat" pada masa ini akan lebih buruk jika BN tidak mampu menjawab kenyataan Mahathir.

Pihak lawan akan untung

Tegasnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana Dr Mahathir memiliki sokongan meluas di kalangan ahli parti dan pengundi.

Jika tidak, keadaan ini akan memberi keuntungan kepada lawan BN, kata Syed Hamid.

"Dalam hal ini, pembangkang dilihat tidak perlu bekerja keras, sebaliknya cuma menggunakan kembali peluru yang dihasilkan oleh Tun M untuk menembak Umno dan BN.

"Sama ada Dr Mahathir berjaya atau tidak untuk menjatuhkan Najib, perkara itu masih belum dapat dijangka tetapi apa yang jelas BN rosak teruk. Sama ada boleh dipulihkan atau tidak, hanya akan diketahui selepas PRU 14," katanya.

Syed Hamid menjadi menteri dalam kabinet antara 1999 hingga 2009. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno.

'Kaji semula GST'

Turut mendapat perhatian Syed Hamid ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak diterima baik orang ramai.

Justeru, katanya, GST perlu dikaju semula kerana jika tidak, ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Pada peringkat ini, penting untuk mereka (BN) keluar dari sindrom berasa selamat atau leka dan hanya mempercayai bahawa mereka tidak boleh dikalahkan," katanya lagi.
 

No comments:

Post a Comment