Wednesday, 13 November 2013

20 Warga Filipina Didakwa Guna Kad Pengenalan Palsu Dan Milik Orang Lain

PETALING JAYA: Dua puluh warga Filipina termasuk enam wanita pada Rabu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Kesemua tertuduh yang berumur antara 19 hingga 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nazri Omran dan Majistret KB Elina Hong Tze Lan.
Mengikut pertuduhan, 10 daripada tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri manakala 10 lagi didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain di kawasan Blok A dan B, Flat SS8, Jalan SS3/39, Sungei Way di sini pada 2.30 pagi tadi.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain yang beralamat di Sabah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara Zubaidah Zahol Ahmad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment