Tuesday 12 May 2015

PAC arah CEO, bekas CEO 1MDB 'mengadap'



Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebulat suara bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO pertamanya Datuk Shahrul Ibrahim Halmi adalah antara tokoh yang akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, prosiding siasatan awal terhadap 1MDB akan dimulakan pada 19 Mei depan.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah (gambar kanan) dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah akan turut dipanggil.

"PAC sebulat suara bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap syarikat 1MDB dalam satu perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh semua ahli PAC yang terdiri daripada lapan ahli parlimen BN dan lima pembangkang.

Kata Nur Jazlan, PAC bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

PAC tetap mahu EPU

"Prosiding akan dimulakan dengan memanggil pegawai pengawal syarikat 1MDB iaitu Irwan dan Rahmat yang pernah hadir memberi keterangan kepada PAC pada 2012," katanya.

Menurut Nur Jazlan, surat kepada Kementerian Kewangan dan EPU dihantar pada 6 Mei lalu dan mengikut peraturan serta kuasa yang diberikan kepada PAC pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa tersebut.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu EPU menghantar surat balas kepada PAC dan memaklumkan bahawa unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus syarikat 1MDB.

Namun, Nur Jazlan berkata PAC tetap mahu EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat berkenaan selain bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

“PAC menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini, bersama-sama dengan Perbendaharaan bagi memulakan prosiding," katanya.

No comments:

Post a Comment