Tuesday, 12 May 2015

Mahkamah: Notis demo kekal tak sah



Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) yang meminta peserta memberi notis 10 hari sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan kekal batal dan tidak sah.

Ini susulan pihak pendakwaan hari ini menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan terhadap Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad yang dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Berikutan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen tersebut sebagai batal dan tidak sah dan tidak berpelembagaan, diterima.

Peguam Nik Nazmi Latheefa Koya memberitahu Malaysiakinibahawa penarikan balik rayuan itu dibuat oleh DPP Manoj Kurup, yang juga ketua bahagian perbicaraan dan rayuan di Pejabat Peguam Negara.

President Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai barisan hakim membatalkan rayuan pendakwa ekoran penarik balik rayuan tersebut.

Sebelum itu, Nik Nazmi menulis dalam twitternya: "Alhamdulillah. Mahkamah Persekutuan membatalkan kes #Black505 saya selepas pendakwaraya menarik balik rayuan."

"Tapi masih ada peluang (bagi kerajaan) untuk menyelamatkan APA dengan kes Black 505 melibatkan (pemimpin PKR Johor) R Yuneswaran," katanya lagi.

Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia dituduh pada 2013 tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya selepas pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, exco kerajaan Selangor itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengisytiharkan seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman tidak berpelembagaan tetapi beliau gagal dalam usahanya.

No comments:

Post a Comment