Tuesday, 17 March 2015

500 sertai nyalaan lilin sokong Nurul Izzah




500 orang penyokong menyertai nyalaan lilin di luar balai polis Jinjang malam ini sebagai tanda sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditahan di lokap balai itu.

Mereka membawa plakad yang bertulis "Bebaskan Nurul Izzah", "Solidariti Bersama Nurul Izzah" dan "Kita Lawan".

Turut kedengaran ialah laungan kuat "bebas Nurul", "hidup Nurul" dan "Puteri Reformasi".

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba pada jam 9.30 malam dan meluahkan perasaan sedihnya kepada para penyokong yang hadir

"Memang sedih anak diperlakukan sebegitu. Apa salah dia, dia cuma menyuarakan suara hati rakyat.

"Kezaliman tidak akan berkekalan,  kita akan kuat dan bersemangat untuk membela rakyat.

"Mungkin malam ini anak saya... tapi percayalah semangat yang ada pada kita akan lawan kezaliman sehabisnya," kata Azizah dalam ucapannya.

Wan Azizah seterusnya membimbing para penyokong melaungkan "lawan tetap lawan, lawan sampai malam".

Adik Nurul Izzah dan anak perempuan keempat Anwar, Nurul ilham turut hadir.

"Biar mereka menahan satu Nurul tapi mereka kena tahu, ada empat Nurul akan terus melawan," laung Nurul Ilham, disambut tepukan para penyokong.

Nurul Ilham berkata, penahanan kakaknya membuatnya sedar bahawa setiap perjuangan mesti ada pengorbanan.

Himpunan turut dihiburkan dengan lagu-lagu gubahan penyanyi muda seperti lagu "suara rakyat", "asal bukan Umno" dan lagu sindiran terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Pemuda DAP,Teo Kok Seong yang dibebaskan semalam dan turut hadir dalam himpunan malam ini berkata beliau dapat merasai sendiri perasaan apabila dimasuk dalam lokap.

"Kita mahu Nurul dibebaskan segera," katanya.

MP PAS Shah Alam, Khalid Samad semasa berucap berkata sebagai ahli Parlimen sepatutnya ada "imuniti" atau kekebalan.

Beliau kesal kerana mendakwa hak ahli Parlimen untuk bersuara dalam Dewan Rakyat telah dicabul dengan penahanan Nurul Izzah.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack turut muncul dalam himpunan dan melaungkan "kita mesti lawan balik".

"Kita telah bersama-sama dalam isu Lynas, sekarang kita bersama sekali lagi untuk menentang kezaliman," katanya.
 

No comments:

Post a Comment