Monday, 24 February 2014

Jabatan Imigresen Tahan 170 Warga Asing Sekitar KLCC

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 170 pendatang tanpa izin termasuk empat kanak-kanak atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu 6P selama tiga jam di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi bermula dari pukul 12 tengah hari itu terdiri daripada 70 warga Bangladesh, 60 warga Myanmar, 20 warga Indonesia dan 20 warga negara lain.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh 120 pendatang asing lelaki, 46 wanita dan empat kanak-kanak itu ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, dokumen palsu dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf serta kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, katanya.

Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIP SOM), katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi.
Operasi itu membabitkan 250 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Sementara itu, Sakib berkata bermula 21 Jan lepas hingga semalam, sebanyak 794 operasi telah dijalankan dan pihaknya menahan 5,508 pendatang tanpa izin serta 59 majikan.
"Tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu 2,156 orang, diikuti Myanmar (786), Bangladesh (596), Filipina (589), Nepal (355), India (276), Pakistan (242) dan bakinya dari negara-negara lain.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,261 pendatang telah diusir ke negara asal," katanya.BERNAMA

No comments:

Post a Comment