Tuesday, 28 July 2015

Dr M patut sertai gabungan 'Selamatkan Malaysia'- Malaysiakini



Selepas pertelingkahan berdekad-dekad, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang Siang kini berpaling kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mencadangkan Mahathir dan dua bekas timbalannya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Musa Hitam bersama dalam gabungan besar baru “Selamatkan Malaysia” bagi berdepan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Lim, ketua anggota parlimen DAP, berkata kemelut 1MDB tidak harus dibiarkan memusnahkan negara ini.

“Kini tiba masanya pemimpin politik, tidak kira parti, bangsa, agama, umur atau gender mengetepikan perbezaan dan bersama-sama merangka dan melaksanakan rangka dasar 'Selamatkan Malaysia'.

“DAP dan semua parti politik yang progresif bersedia menyahut seruan 'Selamatkan Malaysia',” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Ditanya siapa patut terlibat sama, Lim menyebut “tiga Tun”, iaitu Mahathir, Abdullah dan Musa, barisan progresif daripada kedua-dua pihak atau bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata belum menyatakan perkara itu kepada Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain.

No comments:

Post a Comment