Monday 11 March 2019

Statut Rom, ICC: Perkara yang patut diketahui

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.
Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.
Apa bidang kuasa ICC?
Artikel 5 - ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendengar ‘most serious crimes of concern’
seperti:-
a) Genocide (penghapusan etnik)
b) Crimes against humanity (jenayah terhadap kemanusiaan)
c) War crime (jenayah perang)
d) Crime of aggression (jenayah pencerobohan)
Artikel 6, 7, 8 – Setiap empat katagori jenayah antarabangsa diterangkan dengan jelas.
Artikel 17 - ICC hanya akan terpakai apabila negara pihak tidak berkemahuan atau berkemampuan (unwilling or unable) untuk menyiasat dan mendakwa kes jenayah terkutuk tersebut.
Adakah kekebalan Yang di-Pertuan Agong terhakis?
Sungguhpun Malaysia melakukan jenayah terkutuk seperti tertulis di Artikel 5, Yang di-Pertuan Agong tidak akan disentuh oleh ICC kerana:-
i) Artikel 40, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong adalah seorang Raja Berpelembagaan. Semua tugas-tugasnya di laksanakan atas nasihat perdana menteri / kabinet.
ii) Artikel 41, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi bagi angkatan tentera persekutuan. Yang di-Pertuan Agong tidak diberi kuasa untuk mengisytihar perang.
iii) Negara-negara pihak lain yang mempunyai Raja Berperlembagaan: - Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, The Netherlands, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.
Manfaat Malaysia jadi negara pihak ICC
i) Penyertaan Malaysia akan meningkatkan lagi martabat negara di kalangan masyarakat dunia sebagai sebuah negara yang komited dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
ii) Penyertaan Malaysia akan melambangkan kesungguhan negara dalam meningkatkan perpaduan bersama-sama masyarakat antarabangsa dengan membawa pelaku-pelaku jenayah antarabangsa ke muka pengadilan.
iii) Malaysia kini boleh merujuk kepada pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Rome Statute mengenai jenayah-jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya perlu.
iv) Malaysia kini boleh bersuara lebih lantang menentang negara-negara yang melakukan penghapusan etnik dan jenayah perang di persidangan tahunan negara-negara pihak.
v) Malaysia kini layak mencalonkan rakyatnya sebagai hakim, pendakwa dan pendaftar serta jawatan-jawatan lain di pejabat pendakwa dan pejabat pendaftar ICC

Implikasi perundangan (menurut peguam negara)
i) Tiada sebarang halangan perundangan ke atas Malaysia untuk menjadi ahli ICC.
ii) Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda.
iii) Undang-undang yang perlu dipinda melibatkan pindaan substantif dan prosedur. Kementerian Luar Negeri kini dalam proses meminta peguam negara untuk mengambil tindakan yang selanjutnya.
iv) Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima kesan secara peribadi
Kronologi penyertaan Malaysia dalam Statut Rom
17 Julai 1998 - Malaysia menandatangani Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court
27 Mei 2010 - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Nazri Abdul Aziz pada ketika itu, memaklumkan kesediaan Malaysia untuk menjadi sebahagian dari negara pihak ICC. Keputusan tersebut dibuat ketika menghadiri 6th Consultative Assembly of Parliamentarians for the ICC and the Rule of Law di Kempala, Uganda.
11 Jun 2010 - Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu memberi hala tuju dasar untuk Malaysia accede kepada Rome Statute, lanjutan kepada serangan Israel ke atas kapal kemanusiaan Gaza Freedom Flotilla pada 31 May 2011.
18 Mac 2011 - Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) membentang Memorandum Jemaah Menteri untuk Malaysia tandatangan dan ratifikasi Rome Statute. Namun ia tidak diteruskan atas reservation oleh Peguam Negara terhadap keputusan Jemaah Menteri tersebut.

5 Ogos 2015 - Jemaah Menteri sekali lagi bersetuju supaya Jabatan Peguam Negara membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk meratifikasi Rome Statute bagi membolehkan Malaysia membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kes penembakan jatuh Malaysia Airlines MH17 ke ICC. Namun, tiada sebarang tindakan diambil pada ketika ini.
12 Disember 2018 - Jemaah Menteri Pentadbiran Pakatan Harapan bersetuju untuk Malaysia meratifikasi Rome Statute
26 Disember 2018 - Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menulis warkah kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah untuk sembahmaklum keputusan yang dibuat jemaah menteri.
15 Februari 2019 - Menteri Luar datang mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara bagi menyembahmaklum keputusan jemaah menteri
4 Mac 2019 - Malaysia menandatangani Rome Statute of the International Criminal Court.

Artikel ini adalah tulisan Wisma Putra.

No comments:

Post a Comment