KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan seorang pengurus restoran membela diri atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad berkata mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Riduan Masmud, 40.
Beliau menetapkan 16 dan 17 Dis untuk kes pembelaan. Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 19 saksi dari 1 Julai hingga 14 Nov.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun ini.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 20 Mei, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan tidak diwakili.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment