Friday, 13 March 2015

Polis Tembak Mati Anggota Kongsi Gelap Di Sungai Petani


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 11:49 PM
Anggota polis dari Unit Forensik memeriksa kenderaan milik suspek dipercayai anggota kongsi gelap 35 yang ditembak mati oleh sepasukan Polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam kejadian berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Languna Merbok di Sungai Petani kira-kira pukul 5.30 petang Khamis. Suspek dikenali sebagai K. Sujenthiran, 27, mati ditempat kejadian selepas bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan Polis cuba menghampiri kenderaan suspek. -fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, K.Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika itu anggota polis keluar dari kenderaan dan memberi amaran kepada suspek. Selepas itu terdengar beberapa das tembakan dari dalam kenderaan suspek sebelum berlakunya tembakan balas oleh polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam Khamis.

Beliau berkata suspek itu, yang berasal dari Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang, Bedong di sini, menggunakan sepucuk pistol semi auto buatan Republic Czech jenis Luger kaliber 9mm.

Mohd Nashir berkata lelaki itu merupakan suspek utama yang dikehendaki berhubung penemuan mayat dengan kesan tembakan di kepala di Ladang Kelapa Sawit, Sidam Kiri di sini pada 16 September tahun lalu.

Beliau berkata polis juga mengesyaki suspek yang tidak bekerja dan terlibat dalam pengedaran dadah turut terlibat dalam satu lagi kes bunuh di Kota Setar serta kes membakar motosikal.

No comments:

Post a Comment