Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 5:42 PM
(Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Seorang warga Iraq yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Lenggeng, Negeri Sembilan dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Jai, Beranang pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, pemilik rumah hanya menyedarinya selepas terdengar bunyi bising dari belakang kediamannya yang terletak kira-kira empat kilometer dari depot tersebut.
Komander Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Mohd Ramlan Che Hassan berkata, pemilik rumah itu kemudiannya menghubungi Balai Polis Lenggeng untuk mendapatkan bantuan.
Tambahnya, pemilik rumah itu kemudiannya ke depot imigresen di Lenggeng pada pukul 7.30 pagi dan memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Pemilik rumah memberitahu melihat kelibat suspek yang menyerupai tahanan warga Iraq menerusi gambar yang kita sebarkan untuk memburu lelaki itu.
“Difahamkan, suspek kemudiannya melarikan diri ke arah saliran air berdekatan. Berdasarkan siasatan polis ke tempat kejadian, tiada sebarang tanda pecah masuk atau barang yang dicuri.
“Kita percaya tahanan itu cuba pecah masuk ke dalam rumah untuk mencuri makanan dan berselindung di belakang rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.
Tahanan warga Iraq yang mendakwa sebagai bekas tentera negara itu diburu Jabatan Imigresen cawangan Negeri Sembilan, selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng pada Jumaat lalu.
Sehubungan itu, Mohd Ramlan berkata, operasi secara taktikal dilakukan bagi memburu tahanan lolos itu dalam linkungan dua kilometer dari rumah mangsa.
“Operasi memburu melibatkan anggota dari Pasukan Kawalan Khas (PKK) depot terlibat, Grup Taktikal Khas (GTK) dan Unit Tindakan Imigresen (UTI), termasuk anggota Rela.
“Semalam (Isnin), operasi dilakukan seramai 63 anggota dan setakat hari ini, 22 anggota melakukan pencarian yang taktikal dan lebih khusus,” katanya.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen cawangan Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman, lelaki berusia 37 tahun itu melarikan diri pada petang Jumaat lalu, ditahan di depot tersebut sejak Januari lalu setelah selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan imigresen dan dalam proses untuk dihantar pulang ke negara asal.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki warga Iraq itu diminta menghubungi jabatan tersebut di talian 06-7627707.
Jabatan Imigresen itu turut menawarkan ganjaran RM1,500 kepada kepada mana-mana pihak yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya semula suspek.
No comments:
Post a Comment