Friday, 5 September 2014

Pecah Amanah: Peguam Hartanah Dipenjara Enam Tahun


Diterbitkan: Rabu, 3 September 2014 9:27 PM
Herlina Khamisiah dikenakan hukuman penjara enam tahun akibat kesalahan pecah amanah.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang peguam hartanah dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM418,500, dua tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlina Khamisiah Sauli, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap, Selasa.

Herlina Khamisiah, yang ketika itu sebagai peguam di Firma Guaman Messrs Herlina & Co didakwa melakukan pecah amanah terhadap baki wang hasil jualan rumah milik seorang pesara tentera, Wan Mohd Husain Wan Ibrahim, yang berjumlah RM418,500 dengan tidak menyerahkan wang itu, sebaliknya menggunakan untuk kegunaan firma guamannya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di No. 27-1, Jalan Wangsa Delima 5, Pusat Bandar Wangsa Maju, Wangsa Maju di sini pada 31 Oktober 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, pengadu melantik Herlina Khamisiah daripada Tetuan Herlina & Co untuk menguruskan jualan rumahnya dan pada 11 April 2013, pengadu dimaklumkan bahawa pihak pembeli telah membuat baki bayaran sebanyak RM 418,500 dan bayaran dibuat kepada firma guaman itu sebagai pemegang amanah.

Selepas urusan jual beli selesai, Herlina Khamisiah gagal menyerahkan wang hasil jualan kepada pengadu sehingga pengadu pergi semula ke firma guaman tersebut tetapi firma guaman telah ditutup dan usaha mengesan Herlina Khamisiah gagal.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Nithia memohon hukuman berat diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah sangat serius selain tertuduh ketika itu merupakan seorang peguam yang diamanahkan untuk menguruskan dana itu tetapi dia menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya.

"Kesalahan ini juga memberi kesan kepada kerjaya peguam secara keseluruhannya, apabila masyarakat hilang kepercayaan terhadap peguam lain, mohon kepentingan awam diambil kira sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman supaya boleh memberi pengajaran kepada yang lain," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai seorang anak berusia tiga tahun dan tidak lagi beramal sebagai peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Herlina Khamisiah turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun pelanggan Herlina & Co di Bank Al Rajhi, Taman Connought, Cheras berjumlah RM261,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama antara Mac 2012 hingga September 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman.

Herlina Khamisiah gagal membayar jaminan itu.

No comments:

Post a Comment