Wednesday, 18 March 2015

Proses Lahir Hingga Masuk Kubur Dikenakan GST - Sindir Pembangkang


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 1:59 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang dinasihatkan supaya ‘tidak mati’ kerana bimbang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April depan.
Gara-gara membangkitkan kos yang perlu ditanggung jika seseorang itu meninggal dunia termasuk upah untuk menggali kubur, G Manivanan (PKR-Kapar) dicadangkan supaya ‘tidak mati’ buat masa ini.
"Tuan speaker, saya cadangkan supaya YB (Kapar) jangan mati. Sebab kalau nak mati pun banyak kos, jadi kalau boleh jangan mati,” kata Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) ketika mencelah perbahasan Manivanan.
Cadangan Fauzi itu mengundang gelak ketawa wakil rakyat dan kumpulan pemerhati pada sesi persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Terdahulu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, Manivanan menyatakan pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada rakyat sejak bayi hingga seseorang itu meninggal dunia.
"GST akan dikenakan sejak dalam proses kelahiran, alam kanak-kanak, zaman persekolahan, ketika merentasi alam remaja, alam pendidikan tinggi, dunia pekerjaan, ketika meringkuk menunggu hari-hari terakhir dan ketika mahu masuk lubang kubur.
"Setiap peringkat ada GST. Jadi saya sarankan supaya tidak laksanakan GST,” katanya.
Mendengar hujah Manivanan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohd Said turut mencelah bertanya sama ada lubang kubur akan dikenakan GST.
"Keranda tuan Speaker. Kalau (orang) India (meninggal) lagi teruk (kos tinggi). Bunga malai...semua GST,” katanya.

No comments:

Post a Comment