Friday 7 March 2014

Pemenjaraan Salah: Bekas Pengarah Saman Majistret, Peguam Negara & Tujuh Lagi

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah sebuah syarikat perisian komputer menyaman seorang Majistret, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan tujuh lagi atas dakwaan pemenjaraan salah berkaitan pertuduhan memiliki 106 klip video lucah pada 2011.
Mohamad Izaham Mohamed Yatim, 42, yang memfailkan saman itu melalui Tetuan AS Dhaliwal di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, menamakan tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Norina Zainol Abidin, Mazelan Jamaluddin dan Nurul Ashiqin Zulkifli sebagai defendan.
Turut dinamakan defendan ialah Inspektor Siti Mazira Zakaria, Inspektor Mohd Razif Md Zahid, Pembantu Undang-Undang Nur Wahida Md Khairuddin dan kerajaan Malaysia.

Penyataan tuntutan Mohamad Izaham mendakwa sepanjang perbicaraan kesnya, Nurul Ashiqin gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis mengikut Seksyen 43 Akta Penapisan Filem 2002.
Oleh itu, beliau berkata Majistret Zaki Asyraf Zubir tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes berkenaan.
Mohamad Izaham, yang menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang, juga mendakwa Nurul Ashiqin gagal melampirkan senarai video klip berunsur lucah bersama-sama pertuduhan atau mengemukakan video klip berkenaan sebagai eksibit.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif yang difikir wajar oleh mahkamah.
Pada 25 Feb 2011, Zaki Asyraf memutuskan bahawa Mohamad Izaham bersalah mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 dan menjatuhi hukuman denda RM15,000 atau penjara enam bulan.
Bagaimanapun, pada 5 Okt tahun yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam melepas dan membebaskan Mohamad Izaham daripada pertuduhan itu atas alasan rayuannya mempunyai merit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment