Thursday, 14 May 2015

Pati Di Langkawi & Aceh Dipercayai Guna Sindiket Sama


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 7:00 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar (etnik Rohingya) dan Bangladesh di Langkawi dan Aceh, Indonesia hujung minggu lalu dipercayai didalangi oleh sindiket yang sama.
Sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu mStar Online pada Rabu, sindiket yang sama dipercayai mendalangi ketibaan pendatang asing tanpa izin ini melalui jalan yang berbeza.
“Kita mengesyaki Pati yang tiba di Langkawi dan Aceh melibatkan sindiket yang sama. Mereka cuma menggunakan laluan yang berbeza,” katanya.
KDN katanya, menyifatkan warga Bangladesh yang ditahan merupakan migran ekonomi yang meninggalkan negara mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan di negara asing manakala warga etnik Rohingya pula lari untuk menyelamatkan diri daripada konflik di wilayah Rakhine, Myanmar selain mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat di negara itu.
Seramai 1,158 Pati yang terdiri daripada 486 orang dari Myanmar manakala 672 lagi dari Bangladesh tiba di Langkawi pada Ahad lalu dan ditahan pada awal pagi Isnin.

Daripada jumlah itu, 883 orang adalah lelaki, 104 perempuan dan 61 kanak-kanak.
Pada masa yang sama, kira-kira 1,000 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh tiba di Aceh, Indonesia - 600 orang pada Ahad dan 400 orang lagi sehari selepas itu.
Pada Selasa, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, sebagai langkah segera bagi membendung insiden yang sama daripada berulang, usaha akan diambil untuk mengadakan perbincangan segera dengan negara sumber kedatangan Pati ini iaitu Bangladesh dan Myanmar.
“Pihak Thailand juga akan dilibatkan di dalam perbincangan ini susulan daripada kes-kes penyeludupan migran menerusi sempadan Malaysia-Thailand yang melibatkan Pati Rohingya dan Bangladesh,” katanya yang merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi bagi membincangkan perkara itu.
Dilaporkan, kesemua pendatang yang dipercayai meninggalkan Bangladesh dan Myanmar melalui satu sindiket di negara berkenaan dan berada di Thailand terlebih dahulu sebelum cuba memasuki negara ini melalui perairan Langkawi.
Mesyuarat itu yang diadakan oleh KDN turut melibatkan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Sumber KDN memberitahu, mesyuarat yang turut melibatkan Wisma Putra itu merupakan titik peralihan (turning point) untuk mengadakan perbincangan dengan negara-negara terlibat.
“Kita perlu mendapatkan kerjasama mereka dan banyak proses yang perlu dilakukan seperti menghubungi pihak kedutaan negara masing-masing.
“Bagaimanapun, kita mahu mengadakan perbincangan berhubung perkara ini secepat mungkin. Kita berharap dapat melakukannya dalam bulan ini juga,” kata sumber itu.
Ditanya adakah Kerajaan Malaysia akan turut memanggil Indonesia berikutan isu Pati di Langkawi dan Aceh dipercayai menggunakan sindiket yang sama, sumber itu memberitahu bahawa belum ada perancangan untuk berbuat demikian pada masa ini.
“Belum ada perancangan. Biar kita tumpukan perbincangan dengan negara-negara berkenaan (Myanmar, Bangladesh, Thailand) terlebih dahulu,” katanya.
Kesemua 1,158 Pati Rohingya dan Bangladesh yang ditahan di Langkawi Isnin lalu telah dihantar secara berperingkat ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Kedah mulai Selasa.
Pada masa ini, terdapat seramai 13,321 tahanan di 12 depot tahanan imigresen di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 4,531 adalah terdiri daripada etnik Rohingya manakala 1,466 lagi Bangladesh.

No comments:

Post a Comment