SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor bakal menerima peruntukan sebanyak RM200,000 setahun menerusi Bajet 2015.
Pemberian itu adalah yang pertama dalam sejarah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak mula mentadbir kerajaan negeri pada 2008.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin berkata, pemberian peruntukan itu bertujuan meningkatkan khidmat wakil rakyat dan menjamin prinsip demokrasi walaupun terhadap kawasan yang diwakili pembangkang.
"Mulai 2015, peruntukan wakil rakyat akan turut dipanjangkan kepada Adun pembangkang dengan peruntukan sejumlah RM200,000 setahun.
"Kerajaan negeri juga mencadangkan sejumlah RM100,000 setahun diperuntukkan kepada Penyelaras Parlimen yang dilantik oleh kerajaan negeri," katanya pada persidangan DUN Selangor di sini, Isnin.
Pengumuman Azmin itu kemudian mencetuskan suasana bising di kalangan wakil rakyat daripada kelab penyokong kerajaan dan pembangkang.
"Mahu tak? Kalau tak mahu saya tarik balik," kata Azmin secara berseloroh terhadap tindakan kumpulan wakil rakyat itu.
Selain itu Azmin turut mencadangkan supaya peruntukan Adun kerajaan negeri dinaikkan sebanyak RM100,000 kepada RM700,000 setahun.
No comments:
Post a Comment