Thursday 20 February 2014

Pembantu Kolam Ikan Parah Ditetak Sepupu

KOTA BARU: Seorang pembantu kolam ikan parah selepas ditetak dengan pedang oleh dua orang sepupunya di Kampung Paloh, Jalan Pintu Geng di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu, mangsa Ikmal Fadzli Ismail, 23, cedera di leher dan tangan selepas ditetak oleh dua suspek yang masing-masing berusia 20-an.
"Ketika kejadian, kedua-dua sepupu itu telah ke rumah Ikmal dan apabila mangsa melihat salah seorang daripada mereka membuka sarung dari pedang yang dibawa mereka, mangsa terus lari masuk ke dalam rumah dan menyorok di dalam bilik air di tingkat atas rumah.

"Kedua-dua suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah mengejar mangsa dan telah menendang pintu bilik air hingga pecah, sebelum menetak mangsa yang mengenai tangan dan leher mangsa sebelum mereka beredar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.
Idris berkata punca kejadian dipercayai kerana kedua-dua suspek marah dan menuduh mangsa telah memberi maklumat berkaitan mereka kepada pihak polis.
"Ikmal Fadzli memberitahu beberapa hari yang lalu, polis telah ke rumah kedua-dua suspek itu. Bagaimanapun mangsa tidak tahu kenapa polis ke sana dan kedua-dua suspek tidak berada di rumah ketika itu.
"Mangsa turut menafikan ada memberikan maklumat mengenai kedua-dua sepupunya kepada pihak polis," katanya.
Mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapatkan rawatan lanjut dan usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan, katanya

No comments:

Post a Comment