Khamis Februari 20, 2014
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini membenarkan bantahan awal penyandangnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas membatalkan petisyen yang difailkan calon PKR, Madhi Hassan dan pengundi Azmi Sulaiman yang memohon keputusan pilihan raya umum ke-13 itu diisytiharkan batal dan tidak sah.
Mahkamah turut mengarahkan setiap pempetisyen membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Dalam penghakimannya, Hasnah berkata kedua-dua pempetisyen itu tidak mempunyai fakta yang mencukupi untuk menyokong dakwaan yang mengaitkan Ahmad Zahid terlibat dalam melakukan rasuah dan menyalahi undang-undang.
Beliau berkata mahkamah mendapati kedua-dua petisyen yang difailkan itu adalah bersifat pramatang, cacat dan tidak sah.
"Ahmad Zahid masih belum dinamakan sebagai calon pada 19 April tahun lepas, ketika dakwaan rasuah itu dibuat kerana apa juga yang berlaku sebelum penamaan calon tidak boleh dikaitkan dengan pemberian rasuah," katanya.
Hasnah berkata dakwaan Madhi bahawa Ahmad Zahid melakukan rasuah dengan memberikan wang tunai RM100 dan lima kampit beras dengan cetakan logo BN melalui seorang yang dikenali sebagai R. Supramaniam kepada seorang bernama Mustofa Saifudin yang merupakan pemilih berdaftar di kawasan itu, dilihat tidak mempunyai fakta yang mencukupi untuk menyokong dakwaan tersebut.
"Siapakah R. Supramaniam? "Adakah beliau ejen kepada responden (Ahmad Zahid). Tidak dinyatakan sama ada Supramaniam dilantik sebagai ejen untuk membuktikan dakwaan amalan rasuah itu," katanya.
Hasnah berkata mahkamah juga menyedari bahawa Supramaniam adalah calon B Nbagi kawasan Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, Perak.
"Adalah penting untuk menjelaskan hubungan dengan Supramaniam dan sama ada Mustofa dipengaruhi oleh rasuah itu untuk mengundinya (Ahmad Zahid)," katanya.
Hasnah berkata rasuah adalah dakwaan serius yang perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
Mengenai dakwaan Azmi bahawa Ahmad Zahid telah melantik 24,000 petugas dengan bayaran wang tunai dan pemberian beras bagi bertugas di pilihan raya Bagan Datoh, katanya pempetisyen gagal mengenal pasti petugas yang dimaksudkan dan gagal menunjukkan hubungan antara petugas itu dengan Ahmad Zahid.
Sementara itu, Madhi, yang diwakili peguam Edmund Bon ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau dan Azmi akan berbincang dengan peguam mereka sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan itu dan mereka mempunyai 14 hari untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak hadir pada prosiding hari ini dan diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Pada 23 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR.
PKR memfailkan rayuan itu di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen pilihan raya itu.
Ahmad Zahid memperoleh majoriti 2,108 undi mengalahkan Madhi pada pilihan raya umum lepas. BERNAMA
No comments:
Post a Comment