Thursday 20 February 2014

Bekas Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis melepas dan membebaskan bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor Saifulruddin Sulaiman daripada tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan melibatkan RM45,000 berhubung majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, empat tahun lepas.
Hakim M. Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan Saifulruddin, 35, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, M.Bakri berpendapat penjelasan diberikan Saifulruddin dalam pembelaannya merupakan penjelasan yang jujur.

"Keterangan pembelaan tertuduh di atas imbangan kebarangkalian telah mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. "Selaras dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan," katanya.
Sejurus hakim membacakan keputusan, Saifulruddin yang berdiri di kandang tertuduh dilihat menarik nafas lega dan mengucapkan kesyukuran.
Pada 3 November 2011, mahkamah sama melepas dan membebaskan Saifulruddin daripada ketiga-tiga pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Saifulruddin membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Saifulruddin yang dilucutkan jawatannya pada Februari 2011 didakwa secara rasuah menyetuju terima suapan wang tunai RM20,000 daripada Husni Hirzi Abd Rahim, pengurus Syarikat Drift Z Enterprise sebagai upah kerana membantu syarikat itu dipilih dan dilantik sebagai Pengurus Acara untuk Majlis Sambutan 40 Tahun Yayasan Selangor.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di alamat No: 3, Jalan Platinum 7/43C, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2010.
Saifulruddin yang kini seorang ahli perniagaan juga didakwa secara rasuah menyetuju terima suapan wang tunai RM20,000 daripada Husni Hirzi sebagai upah bagi tujuan sama di tempat sama, kira-kira jam 9 malam, 25 Oktober 2010.
Beliau turut menghadapi satu lagi tuduhan menyetuju terima suapan wang tunai RM5,000 daripada Husni Hirzi supaya melepaskan bayaran tambahan program sebanyak RM93,982.40 kepada syarikat beliau.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran The Skewers, Subang Avenue dekat sini, kira-kira pukul 9 malam pada 11 November 2010.
Bagi ketiga-tiga tuduhan, Saifulruddin didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Tujuh belas saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Saifulruddin diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Lokman Kasim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment