Khamis Februari 20, 2014
KLANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh pada Khamis didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai RM3.36 juta di Kuala Selangor, akhir bulan lepas.
Kelindan lori, S.Segar, 41, jurukimpal P.Balasegaran, 36, dan ejen pekerja warga Bangladesh, Sumon Miah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar.
Mereka didakwa bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan selaras senjata api jenis Hock No. C49-0041343 ke atas van bernombor pendaftaran WTU 4207 yang membawa wang tunai RM3.6 juta milik Armour Security Systems (M) Sdn Bhd.
Senjata itu dirampas daripada pengawal keselamatan bernama Mohd Soffee Zakaria, 35 tahun.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kedai Mesra Stesen Minyak Petronas, Simpang 3, Ijok, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kira-kira pukul 9.50 pagi pada 28 Januari lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.
Hakim Tasnim kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment