Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 5:20 PM
(Ubah saiz teks)
BESUT: Seorang doktor lelaki dari Korea Selatan, yang bercuti bersama-sama isterinya di Pulau Perhentian Besar, ditemui lemas di pulau itu petang Isnin.
Dr Kim Byung Rim, 40, dari Daejeon, tiba di Pulau Perhentian Besar bersama isterinya Dr Lee Yong Joo, pada Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata sebelum kejadian, Dr Kim yang memakai jaket keselamatan mandi manda di kawasan Pulau Perhentian Besar bersama-sama pelancong lain tanpa isterinya.
Beliau berkata mangsa kemudian dilaporkan berenang ke Shark Point (kawasan jerung), tidak jauh dari tempat beliau mula-mula mandi, untuk aktiviti snorkeling bersama pelancong lain tetapi tanpa memakai jaket keselamatannya.
"Apabila semua pelancong lain naik ke darat, Dr Kim didapati tidak bersama mereka. Isterinya yang menyedari kehilangannya telah memaklumkan kepada beberapa pelancong yang kemudian kembali ke tempat kejadian untuk mencarinya," katanya di sini.
Noorzainy berkata mayat Dr Kim ditemui terapung di permukaan laut di kawasan itu kira-kira jam 3.30 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dengan bot oleh para penduduk tetapi didapati telah meninggal dunia.
Beberapa penduduk kemudian memaklumkan kejadian itu di Pondok Polis Pulau Perhentian Besar.
Sementara itu, isteri mangsa Dr Lee berkata beliau dan suaminya datang ke pulau itu menaiki bas dari Pulau Pinang.
Mereka berdua bercuti di Pulau Perhentian setelah dimaklumkan rakan-rakannya mengenai keindahan pulau itu, katanya kepada media ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Besut, Selasa.
"Saya akan membawa mayat suami pulang ke Korea Selatan menerusi Singapura esok," katanya.
Mayat Dr Kim dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat pada 7 petang semalam.
Mayatnya akan dibawa ke Kuala Lumpur oleh pihak Kedutaan Korea Selatan yang tiba di sini.
No comments:
Post a Comment