Tuesday, 30 April 2013

Kes Hasutan: Waran Tangkap Terhadap Pemimpin Hindraf Uthayakumar



P.Uthayakumar
KLANG: Mahkamah Sesyen di sini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar kerana tidak hadir pada pendengaran kes hasutan yang dikenakan terhadapnya.
Ketika dihubungi, Uthayakumar, yang juga calon bagi kerusi Parlimen Kota Raja dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas berkata waran berkata masih dikeluarkan walaupun beliau telah mengemukakan sijil cuti sakit (MC) daripada 2 April hingga 17 May yang memberi pengecualian kepadanya supaya tidak perlu hadir ke mahkamah.
"Saya mempunyai sijil cuti sakit daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang dikeluarkan oleh pakar bedah saraf kerana ketumbuhan kecil pada tulang belakang saya," kata Uthayakumar.
Beliau berkata timbalan pendakwa raya telah memohon waran tangkap dikeluarkan pada Isnin dan hakim telah membenarkan permohonan berkenaan.
"Timbalan pendakwa raya berkata saya telah hadir pada hari penamaan calon dan aktif berkempen," katanya ketika menanti ditahan oleh pihak polis di bilik gerakannya di Taman Sentosa di sini.
Beliau berkata kempennya akan terus berjalan walaupun beliau ditahan dan dia akan tetap bertanding pada hari pengundian.
"Penyokong saya akan tetap menjalankan kerja-kerja kempen dan sayak akan tetap bertanding walaupun saya ditahan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasidi berkata Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain telah mengeluarkan perintah berkenaan di hadapan beliau dan penjamin Uthayakumar.
Azlina berkata hakim telah bertanya kepada penjamin mengapa sijil cuti sakit Uthayakumar tidak diserahkan antara 2 April dan 17 Mei.
Beliau berkata penjamin berkenaan menjawab sijil cuti sakit itu diterimanya pada 4 April dan dia diminta menghantar sijil berkenan pada Isnin.
Azlina berkata beliau turut memohon sepina kepada doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit berkenaan kerana pihak pendakwaan mahu mendapatkan penjelasan mengenainya.
Uthayakumar, 49, yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Disember 2011 atas kesalahan menyiarkan surat berbaur hasutan dalam sebuah laman web.
Surat itu, bertarikh 15 November, 2007 adalah daripada Hindraf dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain Gordon Brown di No 10, Downing Street, London.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Monday, 29 April 2013

Kickdefella Diperintah Jawab Saman Husam Selewat-Lewatnya 22 Mei



Syed Azidi Syed Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz diberi tempoh hingga 22 Mei untuk menjawab saman fitnah yang difailkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berhubung dakwaan beliau telah menyalahgunakan kuasa semasa menjadi anggota Exco Kelantan.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong memerintah penulis blog itu, yang dikenali sebagai Kickdefella, supaya memfailkan kenyataan bela dirinya sebelum 22 Mei selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak terbabit di dalam kamarnya.
Anis Afiqah Che Rahim, peguam yang mewakili Syed Azidi, memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 5 September sebagai tarikh untuk mendengar saman itu.
Pada 21 Februari tahun ini, Husam, yang menyandang jawatan naib presiden PAS, memfailkan saman terhadap penulis blog itu kerana menyiarkan satu kenyataan fitnah dalam akhbar Sinar Harian edisi Kelantan bertarikh 25 Julai tahun lepas.
Dalam kenyataan tuntutannya, Husam berkata kenyataan itu disiarkan dengan niat jahat dan merosakkan maruah, kredibiliti dan nama baiknya.
Husam menuntut ganti rugi RM10 juta, perintah yang menghalang defenden daripada memberi komen atau menyiarkan kenyataan bersifat memfitnah terhadapnya dan permohonan maaf oleh defenden dalam akhbar Sinar Harian. -BERNAMA
  • Print this story

Sunday, 28 April 2013

Prof Dr Muhaya: Mengapa Perlu Mengundi?



PROF DR MUHAYA : MENGAPA PERLU MENGUNDI ?

Soalan :

"Profesor, saya tidak pernah mengundi dan saya sendiri tidak pernah kisah dengan isu pilihan raya. Pada saya,dalam politik semuanya sama. Saya tidak suka terlibat dengan politik. Tidak kira politik kampus, mahupun politik negara. Bolehkah saya terus berpegang pada cara ini?"


Jawapan Prof Dr Muhaya :

"Pertama, kita perlu betulkan perspektif kita berkaitan dengan politik. POLITIK dan ISLAM tidak boleh dipisahkan. Mengapa kita tidak menyukai politik?. Ini kerana, dalam politik barat mereka mencari kuasa dan menjatuhkan orang lain.

Politik islam pula bertujuan mentadbir dan mengurus dunia berdasarkan keadilan. Kita perlu PRIHATIN dengan politik. Ambil perhatian atas perkara-perkara yang berlaku. Gunakan kuasa memilih yang kita miliki bagi menentukan pemimpin yang dapat menegakkan kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.

Sekiranya kita tidak mengundi, orang yang tidak sepatutnya memegang kuasa pemerintahan akan mendapat kuasa itu.Apabila orang yang tidak layak mendapat kuasa, kita turut bertanggungjawab atas perkara itu. Ini kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi. Islam menggalakkan kita bermusyawarah dalam kehidupan, mengundi adalah cara musyawarah peringkat global.."

Dipetik dari Buku "PELAJAR BERTANYA PROF. DR.MUHAYA MENJAWAB"

Mengapa Kita Perlu Mengundi?


 
Pilihan raya, sepertimana ungkapan ini membayangkan, adalah waktu ketika kita sebagai rakyat Malaysia membuat pilihan secara sedar tentang mana satu parti politik dan pemimpinnya yang patut memimpin negara kita untuk jangkamasa lima tahun akan datang.
Photo credit: hazuism.blogspot.com
Dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menukar parti lebih-lebih lagi jika didapati parti yang selama ini memerintah tidak menjalankan tugasnya dengan baik, tidak beramanah, sombong dan tidak adil. Dengan kata lain, penukaran parti adalah satu hal yang lumrah dalam demokrasi, dan bukannya satu perbuatan yang luar biasa atau jenayah.
Malah, perbuatan memilih parti selain daripada parti yang pernah memerintah adalah suatu kebiasaan di negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Britain, Perancis, India, dan Amerika Syarikat — dan tidak semestinya mengundang huru-hara dalam masyarakat. Dalam hal ini, pengundi perlukan maklumat yang mencukupi sebelum membuat pilihan dan di sinilah peranan yang penting yang perlu dimainkan oleh media massa yang seharusnya bebas untuk menyiarkan maklumat dan berita mengenai parti yang bersaing dalam pilihan raya berkenaan.
Dengan adanya sistem pilihan raya yang memberi peluang kepada perubahan parti yang memerintah, ini menjadi satu mekanisme ‘checks and balances’ untuk memastikan parti dan pemimpinnya sentiasa dipertanggungjawabkan terhadap apa yang mereka lakukan atas nama rakyat yang kononnya mereka wakili.
Sistem pilihan raya ini menjadi lebih bermakna apabila institusi demokrasi bukan saja dibangunkan malah dimantapkan lagi untuk menentukan kebebasannya (independence), seperti badan kehakiman, media, keprofesionalisme polis dan agensi pemerintah yang lain. Ini adalah satu aspek demokrasi yang penting kerana ini berfungsi sebagai benteng membenteras penyelewangan kuasa pihak yang memerintah.
Dengan kata lain, tidak kira siapa yang memerintah, institusi demokrasi ini terus tegap untuk menuntut satu pemerintahan yang tulus, adil dan saksama. Juga ini untuk memastikan rakyat biasa dapat pembelaan yang sewajarnya jika berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah.
Selain daripada itu, keadilan juga terjamin dengan adanya institusi yang masih tegap lagi berfungsi. Ini bermakna sekelompok rakyat tidak perlu berasa bimbang tentang hak mereka sebagai rakyat biasa kerana mereka boleh merujuk kepada badan keadilan sekira merasa hak mereka telah diperkosa oleh pihak tertentu.
Khususnya, orang Melayu, seperti kaum yang lain, akan terjamin hak mereka selagi institusi demokrasi ini bertegak dan pemerintah dipantau dan dipertanggungjawabkan di bawah sistem demokrasi yang telus lagi adil.
Oleh itu, rakyat perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan masa depan mereka terjamin dengan institusi demokrasi yang mantap.
Undilah untuk perubahan yang bermakna!

Wednesday, 24 April 2013

Permohonan Semak Kehakiman Terhadap SPR ditolak



 
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh seorang jurutera yang tinggal di United Kingdom supaya mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan namanya daripada daftar pemilih.
    
Hakim Vernon Ong membuat keputusan itu dalam kamar.
    
S.K. Dinesh, 32, menamakan SPR dan Ketua Pendaftar SPR Selangor sebagai responden.
    
Bapanya, K. Siva Kumar, 63, memfailkan permohonan berkenaan bagi pihak Dinesh di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan SN Fam & Co pada 4 April lepas.
    
Dalam permohonannya, Dinesh memohon suatu perintah untuk mengarahkan SPR menggugurkan nama beliau sebagai seorang pengundi daripada daftar pemilih bagi kawasan Klang.
    
Dinesh mendakwa tidak pernah mendaftar dirinya sebagai pengundi.
     
Peguam John Fam, yang mewakili Dinesh berkata hakim itu menyatakan  Peraturan 25 (5) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 tidak membenarkan Ketua Pendaftar pemilih meminda daftar pemilih apabila Parlimen dibubarkan.
    
Hakim, katanya juga berkata Peraturan 25 (2) (g) peraturan yang sama yang mengatakan bahawa Ketua Pendaftar, boleh, pada bila-bila masa membuat apa-apa perubahan atau pertukaran kepada daftar pemilih induk (sebagaimana yang difikirkan perlu).
    
"Hakim berpendapat bahawa perkataan 'boleh' bermakna ia adalah budi bicara SPR (untuk menggugurkan atau meminda nama-nama dari senarai daftar pemilih).
    
"Jika budi bicara, mahkamah tidak cenderung untuk mengganggu budi bicara ketua pendaftar SPR," katanya.
    
John Fam berkata kerana kes itu melibatkan kepentingan awam, mahkamah tidak membuat keputusan untuk memberikan kos.
    
Responden diwakili oleh peguam Muzila Mohamed Arshad. 

William Sempat Makan Malam Dengan Keluarga Sebelum Hilang


PETALING JAYA: Seorang saksi pada Rabu memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa William Zhau Zhen Zhong sempat makan malam bersama keluarga di sebuah restoran di Puchong bagi meraikan abangnya menjadi ketua darjah, sebelum dilaporkan hilang. Lans Koperal Patrick Dorriuse, 28, berkata perkara tersebut diceritakan bapa mangsa, Yau Kok Kang kepadanya ketika berjumpa kali kedua di bengkelnya selepas beliau tamat bertugas pukul 12 malam, 16 April lalu.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt sebab beliau pergi semula ke tempat kejadian, saksi yang bertugas sebagai Unit Peronda Balai Polis Putra Heights itu berkata: "Saya lihat ramai polis masih berada di tempat kejadian jadi saya pun datang."
Dorriuse berkata demikian pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William, enam, yang ditemui pada 24 Januari lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh.
William dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik. Di awal keterangan, Dorriuse memberitahu, beliau menerima maklumat kehilangan William pada pukul 9 malam dan terus ke kedai elektrik Onking untuk melakukan gerakan mencari.
Beliau mengaku mengenali Yau kerana pernah ke bengkel milik lelaki itu untuk membeli plat motosikal namun tidak mengetahui namanya selain tidak pernah bertemu ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, saksi kesepuluh, Lans Koperal Shahrul Anizan, 31, berkata keadaan longkang dan juga enam lubang di sekitar bengkel itu kering dan bertutup dengan jeriji.
Mengenai keadaan cuaca malam itu, Shahrul berkata tidak hujan dan jalan itu juga kurang dilalui kenderaan.
Inkues di hadapan Koroner Mohd Hezri Shaharil disambung 9 Mei depan.- BERNAMA

Dakwaan Edar Video Seks: Umno Saman Mustafa Ali


Datuk Mustafa Ali
KUALA LUMPUR: Umno akan memfailkan saman terhadap Datuk Mustafa Ali dan dua lagi berhubung dakwaan parti itu terlibat dalam pengedaran video seks melibatkan pemimpin PAS itu.
Peguam yang mewakili Umno, Datuk Hafarizam Harun bercakap kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa berkata parti itu telah memfailkan saman kerana tuduhan yang dilemparkan itu disifatkan sebagai 'penipuan dan cuba untuk mengaitkan parti itu dengan skandal awam bagi menimbulkan kebencian orang awam'
"Kami mahu menuntut keadilan," katanya.

Tuesday, 23 April 2013

Mahkamah Rayuan Kekal Penjara Lima Tahun Dua Beradik Perempuan Dera Amah


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun dan lapan bulan terhadap dua adik beradik perempuan yang mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah secara seksual terhadap pembantu rumah mereka warga Indonesia, 10 tahun yang lalu.
Peluang Wong Choy Lin dan Wong Choy Kin untuk mengemukakan rayuan berakhir pada Selasa setelah panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Malik Ishak menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhi hukuman penjara terhadap mereka.
Mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan memandangkan kes mereka dari Mahkamah Majistret.
Panel hakim berkenaan yang turut terdiri daripada Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi, menerima bantahan Timbalan Pendakwa Raya Andi Razalijaya A. Dadi terhadap persoalan undang-undang yang dikemukakan.
Choy Ling, 41, dan Choy Kin, 39, telah berada di penjara sejak 13 Okt 2011 dan mereka dijangka keluar pada 2017.
Adik beradik itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Hanif Muawanah Muhyi, ketika itu berumur 25 tahun, dari Surabaya antara November 2003 dan September 2004.
Selain itu, Choy Lin dan Choy Kin didakwa melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap wanita itu sebanyak dua kali dengan memasukkan objek seperti biskut, pisang, dan hujung botol ke dalam alat sulit mangsa pada September dan Julai 2004.
Kesemua perbuatan dilakukan di rumah di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
Pada 13 Okt 2011, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mensabitkan mereka terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan melakukan kekerasan seksual serta lapan bulan bagi kesalahan mencederakan.
Mahkamah Majistret memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Kedua-dua adik beradik itu kemudiannya merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara mereka manakala pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman yang kurang mencukupi.
Pada 11 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan adik beradik itu terhadap sabitan dan hukuman penjara.
Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan menambah hukuman penjara kepada lima tahun bagi kesalahan serangan seksual dan mengekalkan hukuman penjara lapan bulan bagi menyebabkan kecederaan, yang dijalani berturut-turut.
Mereka diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.-BERNAMA

Saturday, 20 April 2013

Bekas Hakim Mahkamah Agung George Seah Meninggal Dunia


PETALING JAYA: Bekas hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah - salah seorang daripada tiga hakim yang dipecat ketika krisis perlembagaan negara pada 1988 - telah meninggal dunia.
Mendiang berusia 81 tahun.
Seah, sebelum ini berhadapan dengan masalah komplikasi jantung telah meninggal dunia tengah malam Jumaat di kediamannya dan dikelilingi oleh sanak saudara yang lain.
Beliau telah dimasukkan ke hospital lebih dua minggu yang lalu dan dalam keadaan yang uzur.
“Kami semua sedang menonton televisyen bersama apabila kami dapati dia berada dalam keadaan yang sukar untuk bernafas dan selepas itu terus meninggal dunia," kata anak perempuannya, Agnes.
Menurutnya lagi, bapanya pernah mengalami strok pada 2005.
Seah dilahirkan di Miri, Sarawak dan antara hakim dari Sarawak yang paling awal dilantik ke kerusi hakim Mahkamah Agung.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai peguam pada tahun 1955 sehinggalah dilantik sebagai hakim pada 1969.
Seah kemudiannya mencetuskan kontroversi apabila bersama-sama Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh telah dipecat sebagai hakim Mahkamah Agung apabila mereka mengeluarkan arahan menangguhkan tribunal yang dibentuk untuk membicarakan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas atas dakwaan salah laku.
Pada tahun 2008, kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membuat permohonan maaf ke atas hakim-hakim yang dipecat ini termasuklah Tun Salleh Abas dan mereka kemudiannya dibayar pampasan sebagai ganti rugi di atas perkhidmatan yang dipendekkan.
Tun Salleh ketika dihubungi telah menyatakan rasa sedihnya di atas kematian Seah.
“Mendiang bukan sahaja seorang hakim yang jujur, dedikasi dan lurus malah telah menyumbang kepada pembangunan undang-undang di Malaysia sehingga ke akhir hayatnya," ujar Salleh.
  • Print this story

Thursday, 18 April 2013

Felda pohon penghakiman ingkar terhadap SUA PKR


 
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon mendapatkan perintah penghakiman ingkar terhadap Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail kerana gagal memfailkan memorandum kehadirannya di mahkamah dalam satu kes saman fitnah.
    
Felda menfailkan permohonan itu pada 5 April lepas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menyerahkannya kepada Saifuddin tiga hari kemudian.
    
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Felda memberitahu media bahawa Hakim Lee Heng Cheong menetapkan 30 April ini untuk sebutan permohonan itu selepas kes itu disebut di kamarnya hari ini.
    
Beliau berkata mahkamah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Saifuddin, yang diwakili peguam S.H Tan, memfailkan afidavit balasan.    
    
Pada 7 Jan lalu, Felda memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel. 

Felda menamakan Mazlan dan Mustafa sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd serta Saifuddin, masing-masing sebagai defendan ketika hingga ketujuh.

Dalam pernyataan tuntutannya, Felda mendakwa Mazlan telah memuat-naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 November tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 November), Mazlan pula mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan di hadapan pejabat Felda.
    
Felda mendakwa kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel dalam akhbar Harakah  pada 26 hingga 29 November tahun lepas.
    
Menurutnya kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.
    
Felda menuntut ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.
    
Felda juga menuntut satu arahan injunksi bagi menghalang Mazlan dan ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di internet atau media cetak.

Bernama

Saturday, 13 April 2013

Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Sembunyi Maklumat Pengganas

TAWAU: Seorang anggota polis yang menghadapi pertuduhan sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat.
Koperal Hassan Ali Basari, 55, berasal dari Semporna, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 9 Februari hingga 3 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim P. Ravinthran yang mendengar kes itu menetapkan 24 hingga 28 Jun untuk perbicaraan.
Hassan yang digari dan dipakaikan 'straight jacket' kelihatan tenang sepanjang prosiding.
Dia diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki manakala barisan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kamarudin pada awalnya memohon mahkamah mempertimbangkan supaya membenarkan isteri Hassan bertemu dengan anak guamnya kerana sejak ditahan mereka dilarang berbuat demikian.
Ravinthran bagaimanapun menasihatkan Kamarudin supaya membuat permohonan rasmi berkenaan perkara berkenaan.
Selain itu, Abdul Gani memberitahu mahkamah perbicaraan kes itu akan melibatkan lebih 10 saksi dan tidak akan dibicara bersama dengan kes lain yang turut melibatkan keganasan di Lahad Datu.
Dalam prosiding hari ini juga, sepuluh lagi warga Filipina berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, dua warga Filipina menghadapi tuduhan yang sama.
Mereka yang didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.
Semua mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama seorang lagi tertuduh Aiman Radie.
Salib Akhmad turut didakwa atas pertuduhan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.
Bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari hingga 13 Mac lalu di beberapa lokasi iaitu di Kampung Tanduo (daerah Lahad Datu); Kampung Perigi (daerah Semporna); Kampung Madai Kunak (daerah Kunak); Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku (daerah Lahad Datu) dan Kampung Bakau (daerah Semporna).
Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ravinthran menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes kesemua tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar pengakuan lapan lagi warga Filipina yang telah didakwa di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pengakuan Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel yang didakwa melancarkan perang dan menganggotai kumpulan pengganas masih tidak direkodkan hari ini kerana mahkamah perlu meneliti kebenaran pelantikan dua peguam untuk mewakili kedua tertuduh.
Peguam Abdul Ghani Zelika dilantik untuk mewakili Atik Hussin manakala Ram Singh bagi pihak Basad.
Enam tertuduh lagi iaitu Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong masih tidak diwakili peguam dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Lin, Holland, Habil dan Timhar Hadir didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala Kadir dan Lating didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.
-BERNAMA

HUSAM MUSA MENANG SAMAN NST

Mohd Rashidi Hassan,12 Apr 2013

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menang dalam samannya terhadap akhbar The New Straits Times, dalam satu keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur sebentar tadi.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan tuntutan Husam dengan mengarahkan pihak NST membayar gantirugi terhadap Husam yang ditohmah terbabit dalam penyelewengan dan salah guna kuasa di Kelantan.

Peguam yang mewakili Husam, Md Yunos Shariff berkata, pihak mahkamah menetapkan tarikh 17 Mei depan untuk membincangkan pengurusan kes dan segala aspek berkaitan gantirugi.

Thursday, 11 April 2013

Persediaan : Peperiksaan Pesuruhjaya Sumpah


Selamat menghadapai Peperiksaan Pesuruhjaya Sumpah
Sesi 02/2013 (Dijangka Bulan Jun 2013)

Sahabat-Sahabat perlu bersedia dengan sepenuhnya terutama
perkara-perkara seperti di bawah:

(a)  Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, sekiranya
boleh hafallah setiap kaedah-kaedah tersebut, sehingga terbawa-bawa
dalam mimpi dan tidur.

(b) Sistem Undang-Undang Malaysia, setakat baca KKPS sahaja
saya pasti anda tidak akan berjaya.  Maka, pastikan anda tahu setahunya
tentang Sistem Undang-Undang  negara ini, contoh siapakah Ketua Hakim
Negara, Apakah dia Waran Tangkap ? dsb.

(c) Pengetahuan Am juga penting diketahui kerana ia mengambarkan
pengalaman luas kita atau perihatin kita tentang negara ini. Contohnya,
pengetahuan kita tentang Jata Negara, Hari Malaysia dsb.

Bagi saya sesiapa yang tidak bersedia pasti akan gagal dalam
peperiksaan ini...... bukan niat untuk menakut-nakutkan, cuma mencabar
Sahabat-sahabat semua.

LAHAT DATU: 15 Warga Filipina, Seorang Anggota Polis Dihadap Ke Mahkamah Jumaat Ini


KUALA LUMPUR: Lima belas warga Filipina dan seorang Koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau Jumaat ini.
Lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.
Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-PertuanAgong dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah diBukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.
Selain itu tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.
Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.
Kesemua mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Pada prosiding Jumaat ini, pengakuantertuduh akan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P. Ravinthran.
Pada 21 Mac lepas, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong tidak diwakili peguam hingga Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh.
Selain itu pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.
Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda manakala Seksyen 130K diperuntukkan bagi kesalahan melindungi pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda.
Sementara itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 130M iaitu sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Pada prosiding lepas, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan berkata pada Jumaat ini beliau akan memberitahu mahkamah mengenai perkembangan perbincangan dengan Persatuan Undang-undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat peguam untuk kesemua tertuduh. - BERNAMA
  • Print this story

Sunday, 7 April 2013

Mahkamah Benarkan Husam Injunksi Blogger Parpukari


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ke atas blogger mesra Umno, “Parpukari”.

Parpukari atau nama sebenar Mohamad Salim Iskandar difahamkan rakan rapat dengan blogger Umno, Papagomo.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, dengan perintah injunksi tersebut Khamis lalu, Parpukari dilarang daripada menulis apa-apa berkaitan Husam sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Pada prosiding sebelum ini Hakim Datuk Yazid Mustaffa menolak permohonan peguam Parpukari, Jasbeer Singh Kaura untuk meminda penyata pembelaan.

Malah mahkamah juga menolak permohonan Parpukari memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Blogger terbabit pada 19 Februari 2012 menulis dan menggunakan gambar-gambar secara tidak tepat dan tidak benar yang dikaitkan dengan plaintif.

Rencana tersebut disiarkan dalam blog; http://parpukari.blogspot.combertajuk “parpukari productions mempersembahkan kisah cinta terlarang 2 benua!”.

Dalam writ saman plaintif mendesak defendan memohon maaf secara bertulis kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blognya dan memadam artikel berkaitan.

Selain itu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu, gantirugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.  Kes tersebut akan dibicara pada 19 dan 20 Jun hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ekoran dakwaan menteri terbabit melulus saham FGVH lebih besar kepada syarikat Bumiputera berbanding peneroka.

"Siapa kroni yang diberi keistimewaan itu, syarikat mana yang diluluskan MITI untuk memiliki saham Felda. Kita minta menteri terbabit mengeluarkan senarai syarikat berkenaan dan menjawab isu-isu berkaitan," katanya pada ceramah Kelantanku Hijau di Padang Kemahkotaan, Jeli malam tadi.

Baru-baru ini Mustapa dilaporkan menuntut Husam memohon maaf berhubung dakwaan fitnah berkaitan saham FGVH yang diberi kepada kroni atau berdepan dengan tindakan saman.

Husam berkata, beliau bersedia menjawab isu tersebut di mahkamah dan tidak perlu menunggu notis 48 jam seperti diberi pemimpin terbabit.

Friday, 5 April 2013

Pengurusan kes saman Papa Gomo 22 April


 
Mahkamah Tinggi menetapkan 22 April untuk pengurusan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog 'Papa Gomo' yang didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan ketua pembangkang itu dalam video seks dengan seorang lelaki di laman berkenaan.
    
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong menetapkan tarikh itu dalam kamar dengan kehadiran peguam Mohd Afiq Mohd Noor.
    
Mohd Afiq memberitahu pemberita pihaknya diarah menyerahkan writ dan tuntutan saman sebelum tarikh pengurusan kes kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, 30, dan jika gagal, beliau akan mengemukakan 'penyampaian gantian' menerusi iklan di akhbar.
    
Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.
    
Selain gantirugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh Mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.

Wednesday, 3 April 2013

PARLIMEN BUBAR HARI INI


10:36AM Apr 3 2013 
dikemaskini 11.30am Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.
Beliau membuat pengumuman itu secara langsung pada jam 11.35 pagi ini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong.

NONEBerikutan itu, perdana menteri menasihatkan ketua-ketua kerajaan negeri, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, untuk menghadap
ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.
DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi aluan kepada pilihan raya negeri diadakan.     
Manakala Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011.  
Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.
Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Tuesday, 2 April 2013

MB Selangor fail hina mahkamah ke atas bekas KP SPRM



Harakahdaily,02 Apr 2013
(Khalid ditemani Ronie Liu di mahkamah hari ini...foto The Malaysian Insider)


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan kertas pendakwaan ke atas Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, menuduh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas enggan mematuhi keputusan mahkamah.

Abdul Khalid telah menang kesnya dan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan pada 18 Mac lalu mengarahkan Ahmad Said dan agensi kerajaan tersebut meminta maaf di mahkamah terbuka dan mengeluarkan kenyataan maaf dimuka hadapan dua akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat hari daripada perintah tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua defendan Ahmad Said dan agensi tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan maaf dimuka hadapan dua akhbar berbahasa Inggeris tersebut.

Pemimpin PKR tersebut menerusi peguamnya Sankara Nair telah memfailkan permohonan untuk mendapata kebenaran menyebut Ahmad Said dan kerajaan Malaysia kerana melanggar perintah Mahkamah di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi pagi ini, lapor The Malaysian Insider.

Untuk menyokong afidavitnya, Khalid menegaskan ia bukan suatu yang mustahil daripada segi undang-undang kedua-dua defendan tersebut menyiarkan permohonan maaf di dalam dua akhbar tersebut.

“Ia tidak mustahil daripada segi undang-undang, mereka telah lakukannya sebelum ini. Mereka boleh lakukannya tetapi mereka tidak lakukannya,” kata Sankara kepada pemberita disini.

Abdul Khalid telah memfailkan saman fitnah pada 27 April 2009 ekoran kenyataan Ahmad Said pada 20 Februari tahun sama yang mana dilaporkan media dengan mengatakan SPRM memiliki “bukti kuat” Abdul Khalid telah menyalahguna dana kerajaan untuk menyelenggara kereta peribadinya dan membeli 46 lembu korban bernilai RM10,400 untuk sambutan Hari Raya Korban pada 2008.

SPRM membersihkan Abdul Khalid daripada tuduhan tersebut pada Februari 2010 dan tidak pernah mendakwa menteri besar Selangor itu.

Pada 19 Mac, Ahmad Said membaca kenyataan maafnya di mahkamah: “Saya, Datuk Seri Panglima Ahmad Said bin Hamdan, secara ikhlas meminta maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim, atas kenyataan saya pada 21 Februari 2009 yang telah dilaporkan media.

“Kenyataan tersebut dibuat atas kapasiti saya sebagai ketua SPRM pada ketika itu. Ia dibuat bagi menjawab soalan yang ditanya kepada saya oleh wakil media terhadap perkembangan siasatan SPRM keatas Abdul Khalid,” tambah beliau.

“Saya membuat kenyataan tanpa niat tidak baik dan tanpa sebarang niat untuk menjejaskan reputasi, imej dan integriti plaintif.”

Sankara juga menerangkan pada 26 Mac lalu, tiga hari selepas tamat tempoh untuk meminta maaf, pejabatnya menerima sepucuk surat daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk permohonan mengubah perintah mahkamah dan mendapatkan lanjutan tempoh tarikh untuk meminta maaf.

Peguam juga menambah perkara ini timbul walaupun beliau telah mematuhi aduan awal defendan yang mengatakan mereka masih belum menerima perintah yang dimerterai daripada keputusan mahkamah tentang kes tersebut sehari sebelum.

Beliau berkata telah memeterai perintah keatas defendan pada 25 Mac lalu, sekali gus memberi mereka lanjutan masa selama dua hari daripada tarikh akhir 23 Mac untuk memohon maaf.

“Jadi, mereka sepatutnya mematuhi pada 28 Mac... Tetapi, walaubagaimanapun mereka tidak, “ kata Sankara lagi.

Sankara turut menambah, pihaknya telah memfailkan afidavit jawapan pada hari ini terhadap permohonan daripada AGC untuk melanjutkan tarikh akhir dan bertentangan dengan perintah mahkamah.

“Apa yang mereka minta ialah lanjutan masa kerana mustahil untuk memenuhi tempoh masa itu... dan kedua, mereka mahu untuk mengubah perintah itu kerana ia tidak perlu berada dimuka hadapan - ia seharusnya berada di dalam mana-mana halaman,” katanya lagi.

Tetapi Sankara menjelaskan dalam afidavit dimana pihak defendan sudah bersetuju dengan perintah mahkamah sebelum ini dan sepatutnya membantah di hadapan mahkamah pada masa itu apabila keputusan itu dibuat.

Beliau menegaskan bahawa perintah mahkamah adalah “undang-undang munasabah” berasaskan dua sebab - kedua-dua akhbar The Star dan NST adalah milik kerajaan dan dalam kes berasingan pada 4 September 1998, pihak kerajaan telah pun menerbitkan afidavit permohonan maaf oleh Ketua Polis Negara Tan Sr Musa Hassan dihadapan semua akhbar utama.

“Jadi jelas, mereka boleh melakukannya, mereka mesti melakukannya, mereka mesti mematuhi ... ia tidak menghormati mahkamah.

“Oleh itu, saya terpaksa memfailkan permohonan untuk menyebut mereka sebagai menghina,” kata Sankara.

Monday, 1 April 2013

Nallakaruppan Mahu Sepina Karpal


Oleh M. MAGESWARI
KUALA LUMPUR: Presiden Parti India Malaysia, Senator Datuk S. Nallakaruppan akan memohon sepina terhadap peguam veteran dan ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh untuk menjadi saksi dalam saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.
Peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya mahu memohon sepina terhadap Karpal; bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar, dan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali.
Katanya, beliau menerima arahan khusus daripada Nallakaruppan untuk memohon sepina Karpal sebagai antara tujuh saksi bagi pihaknya.
Anwar pada Mac tahun lepas memfailkan saman terhadap Nallakaruppan, Utusan dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak.

HARI PERJUANGAN BERMULA

Kepada semua calon-calon Pesuruhjaya Sumpah:
Hari ini perjuangan untuk anda dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah telah bermula.
Bagi saya anda telah layak untuk dilantik kerana telah lulus peperiksaan.  Untuk anda benar-benar layak
maka TEMUDUGA adalah jalan penyelesaian.  Berjaya dalam perjuangan ini maka anda akan
dilantik.
Nasihat saya, buatlah yang TERBAIK dan selepas itu serahkan kepada Allah SWT.
Admin Remba@pjs