Sunday, 28 April 2013

Mengapa Kita Perlu Mengundi?


 
Pilihan raya, sepertimana ungkapan ini membayangkan, adalah waktu ketika kita sebagai rakyat Malaysia membuat pilihan secara sedar tentang mana satu parti politik dan pemimpinnya yang patut memimpin negara kita untuk jangkamasa lima tahun akan datang.
Photo credit: hazuism.blogspot.com
Dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menukar parti lebih-lebih lagi jika didapati parti yang selama ini memerintah tidak menjalankan tugasnya dengan baik, tidak beramanah, sombong dan tidak adil. Dengan kata lain, penukaran parti adalah satu hal yang lumrah dalam demokrasi, dan bukannya satu perbuatan yang luar biasa atau jenayah.
Malah, perbuatan memilih parti selain daripada parti yang pernah memerintah adalah suatu kebiasaan di negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Britain, Perancis, India, dan Amerika Syarikat — dan tidak semestinya mengundang huru-hara dalam masyarakat. Dalam hal ini, pengundi perlukan maklumat yang mencukupi sebelum membuat pilihan dan di sinilah peranan yang penting yang perlu dimainkan oleh media massa yang seharusnya bebas untuk menyiarkan maklumat dan berita mengenai parti yang bersaing dalam pilihan raya berkenaan.
Dengan adanya sistem pilihan raya yang memberi peluang kepada perubahan parti yang memerintah, ini menjadi satu mekanisme ‘checks and balances’ untuk memastikan parti dan pemimpinnya sentiasa dipertanggungjawabkan terhadap apa yang mereka lakukan atas nama rakyat yang kononnya mereka wakili.
Sistem pilihan raya ini menjadi lebih bermakna apabila institusi demokrasi bukan saja dibangunkan malah dimantapkan lagi untuk menentukan kebebasannya (independence), seperti badan kehakiman, media, keprofesionalisme polis dan agensi pemerintah yang lain. Ini adalah satu aspek demokrasi yang penting kerana ini berfungsi sebagai benteng membenteras penyelewangan kuasa pihak yang memerintah.
Dengan kata lain, tidak kira siapa yang memerintah, institusi demokrasi ini terus tegap untuk menuntut satu pemerintahan yang tulus, adil dan saksama. Juga ini untuk memastikan rakyat biasa dapat pembelaan yang sewajarnya jika berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah.
Selain daripada itu, keadilan juga terjamin dengan adanya institusi yang masih tegap lagi berfungsi. Ini bermakna sekelompok rakyat tidak perlu berasa bimbang tentang hak mereka sebagai rakyat biasa kerana mereka boleh merujuk kepada badan keadilan sekira merasa hak mereka telah diperkosa oleh pihak tertentu.
Khususnya, orang Melayu, seperti kaum yang lain, akan terjamin hak mereka selagi institusi demokrasi ini bertegak dan pemerintah dipantau dan dipertanggungjawabkan di bawah sistem demokrasi yang telus lagi adil.
Oleh itu, rakyat perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan masa depan mereka terjamin dengan institusi demokrasi yang mantap.
Undilah untuk perubahan yang bermakna!

No comments:

Post a Comment