Rabu April 24, 2013
PETALING JAYA: Seorang saksi pada Rabu memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa William Zhau Zhen Zhong sempat makan malam bersama keluarga di sebuah restoran di Puchong bagi meraikan abangnya menjadi ketua darjah, sebelum dilaporkan hilang. Lans Koperal Patrick Dorriuse, 28, berkata perkara tersebut diceritakan bapa mangsa, Yau Kok Kang kepadanya ketika berjumpa kali kedua di bengkelnya selepas beliau tamat bertugas pukul 12 malam, 16 April lalu.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt sebab beliau pergi semula ke tempat kejadian, saksi yang bertugas sebagai Unit Peronda Balai Polis Putra Heights itu berkata: "Saya lihat ramai polis masih berada di tempat kejadian jadi saya pun datang."
Dorriuse berkata demikian pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William, enam, yang ditemui pada 24 Januari lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh.
William dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik. Di awal keterangan, Dorriuse memberitahu, beliau menerima maklumat kehilangan William pada pukul 9 malam dan terus ke kedai elektrik Onking untuk melakukan gerakan mencari.
Beliau mengaku mengenali Yau kerana pernah ke bengkel milik lelaki itu untuk membeli plat motosikal namun tidak mengetahui namanya selain tidak pernah bertemu ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, saksi kesepuluh, Lans Koperal Shahrul Anizan, 31, berkata keadaan longkang dan juga enam lubang di sekitar bengkel itu kering dan bertutup dengan jeriji.
Mengenai keadaan cuaca malam itu, Shahrul berkata tidak hujan dan jalan itu juga kurang dilalui kenderaan.
Inkues di hadapan Koroner Mohd Hezri Shaharil disambung 9 Mei depan.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment