Admin Remba@Pjs, mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada semua calon yang berjaya dilantik
sebagai Pesuruhjaya Sumpah. Untuk berjaya dilantik
rasanya sangat susah apatah lagi untuk mengekalkan
lesen pjs hingga 65 tahun. Pesan admin untuk berjaya
praktis anda semua perlu muhasabah diri dengan sentiasa
mengekalkan O kesalahan dan kena ingat apa yang
dilakukan oleh Pjs Alaf Lama itu tidak semestinya
betul. Anda semua adalah PJs Alaf Baru yang akan
sentiasa menjaga nama baik mahkamah yang melantik.
Remba@Pjs
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan ke atas seorang pemandu van sekolah bagi kesalahan merogol seorang pelajar lembam berumur 16 tahun, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ser Kim Joo, 52, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar itu.
Dalam penghakimannya, Azman berkata setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan dapatan dan sabitan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.
Beliau berkata hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak adalah tidak terlampau berat, malah Ser selaku perayu bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak merayu supaya pelaksanaan hukuman berjalan secara berasingan.
Azman berkata berdasarkan keterangan pakar psikologi, mangsa telah disahkan seorang yang kurang kecerdikan, namun mengikut Seksyen 375(e) Kanun Keseksaan, walaupun dengan kebenaran dan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun tiga bulan, perbuatan tertuduh tetap menjadi satu kesalahan.