KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan ke atas seorang pemandu van sekolah bagi kesalahan merogol seorang pelajar lembam berumur 16 tahun, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ser Kim Joo, 52, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar itu.
Dalam penghakimannya, Azman berkata setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan dapatan dan sabitan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.
Beliau berkata hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak adalah tidak terlampau berat, malah Ser selaku perayu bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak merayu supaya pelaksanaan hukuman berjalan secara berasingan.
Azman berkata berdasarkan keterangan pakar psikologi, mangsa telah disahkan seorang yang kurang kecerdikan, namun mengikut Seksyen 375(e) Kanun Keseksaan, walaupun dengan kebenaran dan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun tiga bulan, perbuatan tertuduh tetap menjadi satu kesalahan.
"Ini kerana, mangsa tidak faham akan perbuatan itu dan akibatnya yang menyebabkannya bersetuju," katanya.
Azman berkata keterangan mangsa turut disokong oleh ibunya dan pakar perubatan yang mengesahkan ada tiga koyakan lama pada selaput dara mangsa, selain anak tertuduh yang menjadi saksi juga melihat mangsa dalam keadaan tidak berpakaian, manakala bapanya tidak memakai baju di rumah mereka.
Pada 31 Disember 2015, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Ser dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Disember 2014.
Duda empat anak itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat itu di sebuah flat di Wangsa Maju di sini pada 11 pagi, pada 22 November dan 29 November 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Choon Hong. -- Bernama
No comments:
Post a Comment