Friday, 17 June 2016

PKR tuntut janji selepas Anwar dikejarkan ke hospital lagi

PKR terus merungut mengenai kekurangan rawatan perubatan kepada ketua umummya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa dikejarkan ke hospital sekali lagi, semalam kerana sakit belakang yang kronik.
Bulan lalu, Anwar yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh, Selangor juga terpaksa dikejarkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi.
Dalam satu kenyataan bersama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 Jun tahun lalu berjanji bahawa Anwar akan menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
“Hampir setahun berlalu namun janji hanya tinggal janji,” kata mereka.
Mereka juga mempersoalkan jaminan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi termasuk membawa pakar perubatan dari luar negara untuk merawat Anwar.

“Kerajaan sering berselindung dengan jumlah rawatan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah memadai bahkan bersifat ‘istimewa’ dan melebihi layanan yang diberikan kepada banduan lain.
“Saya ingin mempersoalkan, jika jumlah rawatan yang diterima tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan beliau, adakah ini bukti jelas bahawa rawatan yang diberikan adalah tidak memadai?” kata mereka.
Menurut mereka, Anwar sebelum ini menjalani pembedahan berhubung isu sakit belakang di Jerman pada tahun 2004.
Kedua-duanya berkata kesakitan tersebut akibat pukulan yang diterimanya daripada Ketua Polis Negara, ketika itu, Tan Sri Rahim Noor pada tahun 1998, tidak lama sebelum beliau dipenjarakan pada kali pertama.
Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, dijatuhi hukuman penjara pada tahun 1999 kerana salah menggunakan kuasa dan meliwat tetapi dakwaan meliwat itu kemudiannya dibatalkan dan beliau dibebaskan pada tahun 2004.
Anwar sekali lagi dipenjarakan atas kesalahan meliwat pada Februari tahun lalu dan sedang menjalani hukuman lima tahun di penjara Sungai Buloh.
Beliau mendakwa bahawa sabitan berkenaan bermotifkan politik.
Menurut keluarga Anwar, bekas ketua pembangkang itu perlu menjalani pembedahan di luar negara dan membawa pakar perubatan asing tidak memadai kerana peralatan serta kelengkapan di hospital negara ini tidak mencukupi.

Menurut PKR, mereka masih menunggu kerajaan memenuhi janji mereka berhubung penjagaan kesihatan Anwar.
“Adakah Datuk Seri Zahid Hamidi hilang pertimbangan kemanusiaan terhadap insan yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya kerana beliau berlainan fahaman politik?
“Sekiranya tidak, maka secara minimum Datuk Seri Anwar wajib ditahan di hospital,” kata naib presiden PKR itu.

No comments:

Post a Comment