Monday, 20 June 2016

Mahathir dedah rahsia BN menang pilihan raya kecil

ULASAN l  Mereka bertanya apakah pendirian saya setelah mereka menang.
Pendirian saya tidak berubah. Mungkin ia menjadi lebih keras.
Saya tidak mungkin sokong perbuatan salah guna kuasa seperti menubuh dana kekayaan negara dengan berhutang; pengurusan dana ini sehingga rugi berbillion-billion; pembelian oleh 1MDB tanah kerajaan bernilai RM3,000 pada harga RM60 sekaki persegi; penglibatan Jho Low dalam pengurusan 1MDB; pemindahan bermillion dollar Amerika kepada syarikat milik Jho Low; pengakuan Datuk Seri Najib Razak bahawa adalah benar wang sebanyak RM2.6 bilion ada dalam akaun peribadinya; kegagalan Najib menjelas dari mana datangnya wang ini; kehilangan berbillion ringgit wang 1MDB; pemindahan beban bayaran hutang 1MDB kepada kerajaan.
Saya juga tidak mungkin sokong penyalahgunaan kuasa oleh Najib dengan menangkap, memasukkan dalam tahanan, menuduh dengan mengguna undang-undang yang salah iatu undang-undang anti-terrorist yang kemudian ditukar kepada undang-undang mensabotaj ekonomi kononnya, membuang peguam negara supaya dapat diganti dengan peguam negara yang sanggup berbohong dan berselindung di belakang Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Saya tidak dapat terima seorang perdana menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib berkenaan duit 1MDB; institusi-institusi kerajaan di Switzerland, Singapura mendakwa berkenaan kesalahan 1MDB pimpinan Najib dalam pengurusan wang 1MDB; pembayaran berbillion ringgit kepada syarikat palsu, yang menyebabkan 1MDB disaman oleh badan milik kerajaan Abu Dhabi supaya dibayar gantinya sebanyak lebih RM20 bilion.

Saya tidak dapat terima Najib yang berpegang kepada konsep “Cash is King”, wang tunai itu raja – iaitu mengamal rasuah sebagai prinsip politiknya.
Kemenangan luar biasa BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi.
Perbuatan ini dilihat oleh orang ramai. Tidak ada perasaan segan silu atau malu apabila membuat penipuan untuk mendapat kemenangan.
Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut contoh yang ditunjuk oleh pemimpin.
Mereka yang bertanya akan pendirian saya perlu bertanya diri sendiri apakah maruah kamu sudah tidak ada lagi sehingga sanggup berbangga dengan kemenangan hasil penipuan, hasil rasuah yang terbuka dan salah guna kuasa yang ketara.

Bagi saya usaha untuk membersih kerajaan Malaysia akan saya teruskan dengan apa cara sekalipun.

Mahathir Mohamad adalah bekas Perdana Menteri Malaysia dan artikel ini pertama kali dimuatkan di blognya.

More from Malaysiakini

No comments:

Post a Comment