Monday, 27 July 2015

GHB turun himpunan solidariti buat The Edge



Gerakan Harapan Baru (GHB) akan turun bersama kumpulan NGO lain dalam perhimpunan solidariti mengecam tindakan kerajaanmenggantung permit penerbitan The Edge selama tiga bulan yang mula berkuatkuasa esok.

Perhimpunan kebebasan media itu akan diadakan pada 8 Ogos depan di Kuala Lumpur sepertimana yang diumumkan oleh lima NGO media dalam satu kenyataan bersama semalam .

Dalam kenyataannya hari ini, Pengerusi GHB Mohammad Sabu berkata, gerakan itu memandang serius tekanan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengawal kebebasan media melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA).

"Harapan Baru berpendirian bahawa peruntukan perundangan sedia ada suduh cukup untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dalam laporan media, tanpa perlu menggunakan undang-undang drakonian Akta Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat dan menindas media.

"Harapan Baru akan bersama-sama dalam perhimpunan solidariti dan semua tindakan bagi menyatakan kebersamaan kami menentang tekanan terbaru kerajaan ini melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA) untuk menyekat kebebasan media serta menuntut penghapusan Akta zalim PPPA," katanya.

Bekas timbalan presiden PAS itu lagi turut menyifatkan tindakan kerajaan itu termasuk menyekat laman web Sarawak Report sebagai "langkah terdesak" kerana mendakwa kerajaan tidak mampu menangani pendedahan media berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga "tidak wajar" kerana peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai menyelesaikan pertikaian dalam laporan media tanpa menggunakan akta yang dianggap menindas media.

"Kalau pun ada pertikaian tentang aspek etika tentang cara The Edge Media Group mendapatkan maklumat sehari dua ini, ia tidak boleh dijadikan sebab penggantungan tersebut.

"Pendedahan kedua-dua media ini telah banyak menerangkan dan mendedahkan pelbagai salah-laku urusniaga 1MDB.

"Kerajaan wajar menjawab atau menafikan segala dakwaan dengan bukti yang kukuh serta konkrit dan bukan dengan langkah menghukum mereka dengan penggantungan," kata Mohammad..

Mohamad turut mempersoalkan bagaimana pendedahan media berhubung skandal kewangan yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu sebagai menjejaskan ketenteraman awam.

"Bukankah ketenteraman dan kepentingan awam akhirnya akan terjejas dengan berleluasanya skandal dan salah-laku pengurusan 1MDB?

"Apakah kerajaan terus-terusan ingin menutup salah laku 1MDB termasuk dakwaan skandal RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri dan RM2 juta dalam akaun isterinya? Bukankah ini akan mengukuhkan lagi persepsi buruk terhadap kerajaan?," kata Mohamad lagi.

Semalam, sekumpulan NGO hadir ke pejabat The Edge bagi menyerahkan bunga sebagai simbolik solidariti kepada kumpulan media tersebut yang digantung permit.

Antaranya diwakili oleh BERSIH, Gerakan Media Marah (Geramm), Jaringan Orang Asal Semalaysia dan Teoh Beng Hock Trust for Democracy itu juga bercadang untuk berhimpun di pejabat The Edge pada Jumaat depan untuk menyatakan sokongan mereka.

No comments:

Post a Comment