Tuesday, 14 July 2015

Anwar: Tukar PM gaya Dr M takkan ke mana



Menukar Perdana Menteri Datuk Seri Najib sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku dalam negara, kata bekas ketua pembangkang yang sedang dipenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata Anwar, usaha menukar Najib yang digerakkan Tun Dr Mahathir Mohamad – mentor yang kemudian menjadi musuh politiknya – tidak akan membawa perubahan sebenar.

“Menukar Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri tidak cukup buat rakyat.

“Kita pernah lalui proses yang sia-sia di mana pimpinan ditukar, tetapi sistem yang korup dan usang masih tidak berubah. Kita tidak perlukan penyelesaian sedikit demi sedikit, tetapi komitmen serius kepada reformasi dan penghapusan rasuah.

“Usaha menukar Datuk Seri Najib yang dikepalai Tun Mahathir, tanpa reformasi sebenar, hanya akan memuaskan kelompok-kelompok kroni mereka; ia tidak akan membawa perubahan sebenar buat rakyat,” katanya.

Dalam perutusan Anwar melalui peguamnya hari ini, beliau berkata perubahan institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan pihak polis amat diperlukan.

Beliau mendakwa agensi-agensi itu selama ini telah gagal membendung kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, Anwar juga menuntut perubahan sistem pilihan raya, seperti yang digesa BERSIH, serta pemansuhan Akta Hasutan serta undang-undang antidemokrasi lain.

“Pada masa yang sama, Akta Hasutan dan pelbagai jenis undang-undang lain yang bersifat kuku besi masih digunakan untuk menutup mulut rakyat.

“Dari sebalik tembok besi ini, saya berasa amat bimbang dan risau buat tanah air kita,” kata Anwar.

Menyentuh siasatan terhadap dakwaan pengaliran dana syarikat berkaitan 1MDB ke akaun Najib, Anwar berkata perkara itu menjadi sejarah kerana “seorang perdana menteri disiasat atas dakwaan penyelewengan wang”.

“Siasatan ini berlaku pada ketika rakyat menghadapi kenaikan harga barang, GST yang teramat membebankan dan ketidakpastian hala tuju ekonomi negara yang paling teruk sejak krisis kewangan Asia tahun 1997,” katanya.

Najib menafikan dakwaan oleh media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) itu. 
 

No comments:

Post a Comment