Diterbitkan: Isnin, 18 Ogos 2014 10:42 PM
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Padang Serai, N.Surendran dibebaskan dengan jaminan polis berhubung satu waran tangkap terhadapnya yang dikeluarkan petang Isnin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, Surendran menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju jam 7.52 malam diiringi peguam Latheefah Koya.
"Surendran telah dibebaskan dengan jaminan polis untuk hadir di Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada Jam 8.30 pagi esok (Selasa) untuk pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Waran tangkap terhadap Surendran adalah berkaitan kenyataannya yang mendakwa kes liwat kedua Ketua Pembangkang yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah konspirasi politik melibatkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Surendran yang juga peguam kepada Anwar, ketika ditemui selepas dibebaskan berkata tuduhan terhadapnya pada Selasa tidak memberi kesan terhadap tugasnya sebagai peguam Anwar dalam rayuan kes liwat kedua pada Oktober depan.
"Saya bantah keras tuduhan ini dan kita akan terus lawan demi negara Malaysia yang lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment