Friday 28 February 2014

Polis Rakam Keterangan Enam Individu Bantu Siasatan Kes Wanita Diserang Anjing

GEORGE TOWN: Polis telah mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes seorang wanita diserang anjing daripada baka German Shepherd, di Solok Bukit Jambul di sini Ahad lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Shahurinain Jais berkata polis masih menunggu laporan Jabatan Veterinar bagi mengetahui status kesihatan haiwan berkenaan.
"Anjing terbabit akan dikuarantin dalam tempoh 10 hari dan Jabatan Veterinar sedang memantau perkembangan haiwan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Pantai Bayan Baru di sini, Khamis.

Shahurinain berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan haiwan hingga mendatangkan kecederaan dan kertas siasatan dijangka diserah kepada Ketua Unit Perundangan Isnin ini untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, Badriah Hanani Abu Bakar, 53, menerima 28 jahitan akibat kecederaan di kepala, paha dan lengan selepas diserang anjing peliharaan jirannya.
Ketika ditemui pemberita, Badriah menyatakan hasrat mahu berpindah dari rumah berkenaan sejurus pulih daripada kecederaan berikutan trauma dengan insiden yang menimpa dirinya.Beliau berkata bayangan anjing berkenaan sering menghantui mindanya menyebabkan tidurnya turut terganggu.
"Kecederaan di badan semakin pulih...saya masih menunggu arahan doktor untuk melakukan imbasan di kepala dan tidak tahu bila akan dibenarkan keluar dari hospital," katanya. - BERNAMA

1 comment:

  1. Remba mengenali mangsa beliau mungkin seorang kakitangan mahkamah georgetown. Dinasihat buat saman sivil terhadap penjaga anjing tersebut selain kes jenayah yg disiasat oleh PDRM.

    ReplyDelete