Friday 28 February 2014

Altantuya: Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Anggota Polis Didengar 23 Jun


PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditetapkan untuk pendengaran selama tiga hari di Mahkamah Persekutuan mulai 23 Jun.
Timbalan Pendaftar Izuddin Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas rayuan itu dikemukakan kepada beliau untuk pengurusan kes, Khamis.
Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memberitahu pemberita pendengaran rayuan itu ditetapkan dari 23 hingga 25 Jun.
Peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, turut menyebut kes itu bagi pihak peguam mewakili Koperal Sirul Azhar Umar iaitu Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 23 Mei.
Manoj dan Kuldeep sebelum itu hadir di hadapan Izuddin bagi prosiding pengurusan kes.
Mengenai sama ada Azilah, 37, dan Sirul Azhar Umar, 42, akan hadir pada tarikh pendengaran itu, Kuldeep berkata: "mereka akan hadir".
Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Kedua-dua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, dan pada 23 Ogos tahun lepas Mahkamah Rayuan yang meminda sabitan itu membebaskan mereka.
Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.
Kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan, oleh itu mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian.
Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 3 Jan tahun ini, menyenaraikan enam sebab panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf, dalam undang-undang dan fakta, untuk membenarkan kedua-dua anggota polis itu terlepas daripada tali gantung.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan. - BERNAMA
  • Print this story

No comments:

Post a Comment