Thursday, 13 February 2014

Nirmala Tidak Cuba Mengelak Ketika Disimbah Air Panas Oleh Majikan

Nirmala Bonat
KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak cuba mengelak air panas yang disimbah di paha kanannya oleh bekas majikan, Yim Pek Ha.
Nirmala, 29, berkata demikian ketika disoal peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim dan suaminya, Hii Ik Tiing dalam perbicaraan hari ketiga kes saman yang difailkan terhadap mereka kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas.
Nirmala, yang turut menunjukkan demonstrasi bagaimana air panas itu disimbah ke atasnya berkata kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak cuba mengelak.
"Majikan perempuan saya mengambil air panas, langsung menyimbah air itu ke atas paha kanan saya," kata ibu kepada dua anak lelaki itu sambil menunjukkan demonstrasi di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid.
Nirmala berkata simbahan air itu hanya terkena pada paha kanannya dan tidak terkena pada bahagian lain.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Chan yang menyatakan dakwaan bahawa air panas itu disimbah oleh Yim adalah rekaannya sendiri kerana kecederaan pada paha kanan itu menunjukkan seolah-olah simbahan air panas itu adalah perbuatan yang disengajakan olehnya.
Chan: "Adakah kamu setuju bahawa kecederaan pada paha kanan kamu boleh terjadi sekiranya air panas itu dituang dengan perlahan hanya dalam keadaan duduk?"
Nirmala: "Saya tidak bersetuju".
Chan: "Saya katakan bahawa kamu telah mengangkat seluar kamu dalam keadaan duduk dan menuang sendiri air panas itu ke atas paha dan disebabkan itu tidak berlaku kecederaan pada tempat lain?"
Nirmala: "Saya tidak bersetuju".
Nirmala juga tidak bersetuju dengan cadangan Chan yang menyatakan dia tidak menghubungi keluarganya di Indonesia ataupun pihak agensi kerana dakwaan bahawa majikannya itu melakukan penderaan terhadapnya adalah tidak benar.
Wanita yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu berkatapasangan suami isteri itu tidak pernah memberi ubat kepadanya serta tidak pernahmembawanya ke klinik bagi mengubati kecederaan yang dialaminya itu.
Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Jan 2004.
Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Sept 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripadamencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.
Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan olehmahkamah.
Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.
Perbicaraan bersambung pada Khamis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment