Monday, 6 May 2013

Mahkamah Tolak Bantahan Pendakwaan Terhadap Yazid Dan Dua Yang Lain


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan dua individu yang lain untuk membatalkan pertuduhan mereka.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili ketiga-tiga pemohon.
Kamardin dalam penghakimannya berkata permohonan ketiga-tiga pemohon itu bukan penyalahgunaan proses mahkamah dan merit terhadap permohonan itu wajar didengar. "Oleh itu, ketiga-tiga pemohon tidak perlu dihalang daripada membawa permohonan ini ke mahkamah," katanya.
Mahkamah menetapkan 17 Mei depan untuk mendengar hujahan permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan.
Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala rakannya Halimah Hussein dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim dituduh bersubahat dengan Yazid melakukan kesalahan itu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
Yazid menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang mana kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohamad Hanafiah berhujah permohonan tertuduh itu merupakan satu proses penyalahgunaan mahkamah kerana mereka sepatutnya dibicarakan terlebih dahulu melalui keterangan saksi.
Amer Hamzah pula berhujah permohonan anak guamnya itu bukan satu permohonan sia-sia atau menyalahguna proses mahkamah. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment