Thursday, 30 May 2013

Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Bersalah Khair Toyo



 
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

Keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin itu dibuat sebulat suara. Panel hakim lain ialah Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali.

Hakim Azahar, ketika membaca penghakiman itu, berkata mereka mendapati tidak ada keperluan untuk mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) apabila beliau menolak semua alasan rayuan yang dikemukakan oleh peguam Khir.

"Berdasarkan rekod rayuan, kami berpuas hati untuk menolak rayuan itu kerana kami merasakan bahawa perayu harus didapati bersalah seperti yang didakwa.

"Hakim perbicaraan adalah betul untuk mensabitkan tertuduh terhadap pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah," katanya.

Khir diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah Tinggi, pada 23 Disember 2011, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas khir dan melucuthak harta tersebut.
Khir merupakan menteri besar Selangor yang kedua disabitkan kesalahan rasuah, selepas Datuk Harun Idris.

Walaupun pihak pembelaan mengemukakan 33 alasan rayuan, tetapi mahkamah menggabungkannya kepada enam perkara, iaitu:
  • Persoalan sama ada dia adalah seorang penjawat awam;
  • Sama ada pembayaran sebanyak RM3.5 juta untuk membeli harta itu mengikut harga pasaran;
  • Sama ada dia mempunyai hubungan dengan pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni;

  • Sama ada Shamsuddin telah menjadi rakan kongsi dalam jenayah;

  • Kredibiliti kontraktor Nasir Ismail; dan

  • Sama ada pembelaan Khir boleh diterima.
Kepada semua soalan tersebut, Hakim Azahar berkata hakim Mahkamah Tinggi betul berhubung fakta bahawa Khir adalah seorang penjawat awam - iaitu bekas MB dan bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - dan mahkamah berpuas hati dengan kredibiliti Shamsuddin, yang menjual rumah untuk Khir, bersama-sama dengan Nasir sebagai kontraktor yang mengubahsuai harta tersebut.

Katanya, Khir telah menunjukkan minat dalam harta yang dinyatakan di atas sebelum Shamsuddin menjual kepadanya, malah dia juga telah membayar terlebih dahulu kos pengubahsuaian.

Menurutnya, RM3.5 juta itu bukan jumlah yang adil dan munasabah untuk membelinya kerana Shamsuddin telah membeli hartanah itu pada harga RM5.5 juta beberapa tahun sebelumnya.

Oleh itu, Hakim Azahar berkata, adalah perlu bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak mengganggu penghakiman Mahkamah Tinggi.

Mengenai hukuman ke atas Khir, Hakim Abu Samah berkata petang ini bahawa hukuman itu adalah budi bicara mahkamah dan "kita tidak cenderung untuk mengganggu hukuman (oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam), termasuk pelucutan hak, kerana subjek pertuduhan adalah harta yang berharga. "

"Kami mengekalkan hukuman dan pelucutan hak tersebut," Hakim Abu Samah memerintah.

Shafee berkata, beliau menerima arahan supaya merayu keputusan itu dan memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami akan memfailkan rayuan esok," kata Shafee.

DPP Dusuki Ahmad membantah sebarang penangguhan hukuman, dengan alasan sesuatu rayuan tidak beroperasi sebagai penggantungan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, Hakim Abu Samah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan Khir
.

William Turun Kereta Cari Emak Kerana Adik Perempuan Menangis- Saksi

PETALING JAYA: Abang kepada William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak berusia enam tahun yang mayatnya ditemui terapung berhampiran sebuah jeti Januari lepas, memberitahu Mahkamah Koroner William turun dari kereta kerana adik perempuan mereka menangis mencari emak.
Saksi ke-20 itu berkata pada hari kejadian, William turun untuk mencari ibu mereka, Goh Ying Ying, 26, meskipun sudah dipesan bapa, Yau Kok Kang, 33, supaya tidak berbuat demikian.
"Sebelum turun, ayah pesan supaya tunggu dalam kereta, jaga adik-adik, jangan turun dari kereta dan tidak membuka pintu kereta... nanti ada orang lain masuk," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt yang membantu Koroner Mohd Hezri Shaharil pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William.
Mayat William ditemui 24 Januari lepas di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Abang kepada William yang hadir ke mahkamah bersama ibunya, memaklumkan bahawa adiknya itu membuka pintu kereta dengan menekan butang 'lock', walaupun kereta itu telah dikunci bapa sebelum meninggalkan mereka bertiga.
Kanak-kanak itu juga memberitahu jarak masa antara William turun dari kereta dan ibu bapanya kembali ke kereta hanya sekejap, iaitu kira-kira dua minit.
Terdahulu, kanak-kanak itu memberitahu beliau menyayangi semua anggota keluarganya, termasuk William.
Beliau berkata keluarganya mempunyai lima anggota termasuk ayah, ibu, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.
Ketika ditanya Koroner Mohd Hezri, kanak-kanak itu berkata beliau merindui William.
"Emak dan ayah cakap adik bersama Dewi Guan Yin, tempat itu terletak di langit dan sangat jauh," katanya.
Prosiding inkues bersambung Jumaat ini. - BERNAMA

Wednesday, 29 May 2013

Pesuruhjaya Sumpah dan Stamp Act 1949

STAMP ACT 1949
As at 1 March 2012
LAWS OF MALAYSIA


Collector may administer oaths

77. The Collector is authorized to administer all affirmations and 
oaths which may be necessary for the purposes of this Act. 

FIRSTSCHEDULE
[Section 4] 
INSTRUMENTS CHARGEABLE WITH STAMP DUTY 

Item Description of Instrument Proper Stamp Duty 

1 (Deleted by Act 274).
2 AFFIDAVIT, STATUTORY DECLARATION
OR DECLARATION IN WRITING on oath or
affirmation, made before a person authorized by
law to administer an oath
RM10.00

Exemptions 

Affidavit or Declaration in writing made

 (i) for the immediate purpose of being filed
or used in any court or before any Judge
or officer of any court;

(ii) for the sole purpose of enabling any
person to receive any pension or
charitable allowance;

(iii) by a surety for an officer of the
Government with regard to the surety’s
means;

(iv) by any person on acceptance of an
appointment in the service of the
Government;

(v) under section 8 of the †
Post Office Act
1947;

(vi) for renewal of Bills of Sale;

(vii) by a public officer that he or she has
attained the appropriate age entitling such
officer to a pension;

(viii) for the Collector under section 57 of this
Act; or

(v) under section 8 of the †
Post Office Act
1947;

(ix) pursuant to any statute requirement or in
accordance with the directions of any
Government or Agency.

Empat didakwa, Hishamuddin Rais serah diri


 
Empat pemimpin NGO dan parti pembangkang yang ditahan mengikut Akta Hasutan dalam operasi pada malam tadi hari ini didakwa mengikut akta tersebut.

Keempat-empat individu tersebut adalah aktivis siswa Safwan Anang, pemimpin NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan naib presiden PKR Tian Chua.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah apabila pendakwaan dijalankan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang, namun Safwan enggan diikat jamin.

Seorang lagi aktivis, Hishamuddin Rais yang dikehendaki polis atas dakwaan kesalahan sama, turut menyerah diri di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tuesday, 28 May 2013

Tian Chua, Tamrin dan Haris Ditahan Semula Selepas Empat Hari Dibebaskan


Tian Chua
Haris Ibrahim
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua, Aktivis, Haris Ibrahim dan Ahli PAS, Tamrin Ghaffar telah ditahan semula selepas empat hari dibebaskan oleh majistret.
Dalam posting di akaun Twitter peribadi milik Ahli Parlimen Batu itu, tertulis: "Tian Chua baru sahaja ditahan.#pihak pentadbir.
Tamrin Ghaffar
Satu lagi posting terbaru memaklumkan Tian Chua telah di bawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Kira-kira lapan anggota polis hadir untuk menahannya.
Beliau ditahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Puchong yang juga seorang peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Haris - pemimpin Asal Bukan Umno (ABU) mengesahkan mereka telah ditahan semula pada pukul 7 malam.
"Mereka kini berada di Balai Polis Daerah Dang Wangi. Mereka telah ditahan di bawah Akta Hasutan.
"Kami tidak mengetahui apa yang sebenarnya mereka dan di mana mereka berada ketika ini," katanya ketika dihubungi The Star.
Khamis lalu, ketiga-tiga individu berkenaan, Tian Chua, Haris dan Tamrin ditahan di bawah Akta Hasutan.
Bagaimanapun ketiga-tiga individu berkenaan dibebaskan keesokan harinya selepas majistret menolak permohonan reman yang dikemukakan oleh pihak polis.
Sebelum ini mereka ditahan, selepas berucap dalam satu Forum 13 May di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Saturday, 25 May 2013

Ketua Hakim Negara: Petisyen Pilihanraya Selesai Dalam 6 Bulan



 

Sebarang petisyen yang dikemukakan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia difailkan, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.    

Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua hakim yang bakal mendengar permohonan semakan keputusan PRU13 bagi memastikan konsep keadilan dapat ditegakkan.  
    
"Perkara ini penting memandangkan ada cubaan (parti politik) untuk mengemukakan petisyen berikutan kurang berpuas hati dengan keputusan PRU13 lalu.

"Jika petisyen itu dikemukakan atau difailkan, saya memohon kerjasama semua (hakim) untuk melaksanakan tanggungjawab (mendengar) dengan minda yang bebas... tanpa dipengaruhi oleh desakan pihak tertentu," katanya.
    
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Hakim-hakim Malaysia Kali Ke-47, di Kuantan hari ini.  
    
Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Raus Shariff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjun.
    
Arifin berkata tempoh enam bulan itu adalah realistik, kerana menjangkakan terdapat petisyen yang akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.  
    
Seramai 101 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tahunan itu.   

Arifin turut menasihatkan hakim untuk tidak memberikan sebarang reaksi balas terhadap komen yang dibuat oleh pengguna internet yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman. 
    
Katanya, setiap keputusan yang sudah dibuat itu adalah muktamad dan atas pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang bertanggungjawab dalam mendengar dan mengadili kes berkenaan. 

"Walaupun ada komen yang dibuat atau disebarkan dalam internet itu berunsur negatif dan berniat menjejaskan nama baik sistem kehakiman, kita (hakim) tidak perlu melayannya kerana ia dibuat oleh mereka yang tidak memahami fakta sebenar kes," katanya.  
    
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua hakim supaya membuat keputusan penghakiman bersandarkan perbicaraan yang dijalankan dan keterangan yang dikemukakan demi menjaga kepentingan awam.  
    
"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ada trend sebelum ini... ada hakim yang cuba memperluaskan skop hak asasi kemanusiaan dalam keputusan penghakiman mereka.  
    
"Jika ini berlaku, menjadi perhatian dan kerisauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan akhirnya dibimbangi akan memberi gambaran tidak betul terhadap kredibiliti badan kehakiman yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini," katanya.

- Bernama

Thursday, 23 May 2013

Kes Sosilawati: Bekas Peguam, Tiga Yang Lain Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati


Tiga tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, R.Matan (kiri), T.Thilaiyalagan (dua kiri) dan bekas peguam N Pathmanabhan (kanan) diiringi anggota polis selepas mahkamah memutuskan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Sosilawati Lawiya
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi. - BERNAMA

Adam Adli mengaku tak bersalah tuduhan hasutan




Adam Adli mengaku tak bersalah tuduhan hasutan
 
Aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui satu ucapan pada 13 Mei lalu.
NONEAnak muda berusia 24 tahun itu mengaku tidak bersalah apabila tuduhan berkenaan dibacakan ke atasnya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Norsharidah Awang.

Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata hasutan dengan menyeru rakyat turun ke jalan raya untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Umno dan BN.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes berkenaan akan disebut semula pada 2 Julai.

Tuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Adam Adli diwakili peguam S Ambiga.

Wednesday, 22 May 2013

Wan Muhammad Azri Nafi Dirinya 'Papa Gomo'


KUALA LUMPUR: Wan Muhammad Azri Wan Deris yang disaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung paparan video seks dengan seorang lelaki, menafikan beliau pemilik blog 'Papa Gomo'.
Wan Muhammad Azri, 30, menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada Isnin di Mahkamah Tinggi di sini berkata alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman itu juga bukan miliknya dan beliau tidak pernah mengenali Anwar secara peribadi.
Beliau turut menafikan pernah menyiarkan sebarang perkataan atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar serta tiada sebarang niat jahat untuk merosakkan reputasi Anwar sepertimana didakwanya.
Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa dalam prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong telah menetapkan 5 Jun untuk pengurusan kes.
Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan. - BERNAMA

Yazid Sufaat Dibebaskan Daripada Tuduhan SOSMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan dua yang lain yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hakim Kamardin Hashim memerintahkan akta tersebut tidak boleh dikenakan ke atas ketiga-tiga mereka kerana ia ultra vires (melampaui bidang kuasa) bertentangan dengan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Tuesday, 21 May 2013

Mahkamah Pilihanraya vs Mahkamah Rakyat

* Mohamed Hanipa Maidin,20 Mei 2013

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21 hari, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah," kata Aziz.

Sentimen yang sama juga diluahkan oleh Presiden Umno Najib Tun Razak. Najib menyatakan Umno akan terima apa sahaja keputusan mahkamah.

Inilah skrip basi SPR dan Umno. Bagi kedua-dua tokoh ini penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya adalah mahkamah. Hujah Najib dan SPR ini hakikatnya satu lagi bentuk penipuan halus pihak berkuasa untuk mengelirukan mereka yang jahil tentang petisyen pilihanraya.

Saya ingin nyatakan dengan tegas petisyen piliharaya dan mahkamah bukan penyelesaian kepada kepincangan pilihanraya. Alasannya cukup mudah. Mahkamah pilihanraya (election court)  beroperasi dalam ruang lingkup undang-undang pilihanraya yang digubal oleh rejim BN yang korup dan penipu. Jadi bagaimanakah undang-undang yang digubal oleh rejim yang penipu dapat menyelesaikan pilihanraya yang sarat dengan penipuan !!!

Ibarat yang mudah adalah bagaimanakah kita boleh mengharap kambing selamat dari serigala jika yang jaga kambing adalah serigala !!!

Dalam undang-undang pilihanraya, alasan pembatalan sesuatu pilihanraya hanya boleh dibuat oleh hakim pilihanraya melalui seksyen 32 Akta Kesalahan Pllihanraya 1954. Seksyen 32 menggariskan lima alasan [ 32 (a) hingga (e)] bagi pembatalan pilihanraya oleh Mahkamah Pilihanraya.

Najib dan SPR arif dan tahu berdasarkan seksyen 32 (a) hingga (e) Akta tersebut hampir mustahil untuk membatalkan sesuatu pilihanraya. Bagi memudahkan faham mari kita lihat bagaimana seksyen 32 (b) Akta tersebut digubal oleh rejim BN.

Berdasarkan seksyen 32 (b) tersebut sesuatu pilihanraya hanya boleh dibatalkan jika mahkamah pilihanraya berpuashati wujudnya perlanggaran undang-undang pilihanraya namun perlanggaran itu mestilah dalam masa yang sama menjejaskan keputusan pilihanraya.

Sebagai peguam yang banyak terlibat dalam petisyen pilihanraya saya ingin nyatakan membuktikan perlanggaran undang-undang atau peraturan pilihanraya bukan suatu yang susah kerana Umno dan SPR  seringkali langgar undang-undang pilihanraya. Malahan banyak kali kami peguam PAS dapat membuktikan hal tersebut.
Yang sukarnya hingga ke tahap hampir mustahil adalah membuktikan perlanggaran undang-undang oleh Umno dan SPR boleh menjejaskan keputusan pilihanraya.

Hakim–hakim di negara ini sehingga sekarang memilih tafsiran kuno tentang maksud menjejaskan keputusan pilihanraya. Di negara maju seperti di England para hakim di sana berpendapat jika berlaku perlanggaran undang-undang secara substantif maka pilihanraya adalah tidak sah tanpa mengira perlanggaran itu menjejaskan atau tidak menjejaskan keputusan pilihanraya.

Tafsiran mahkamah di Malaysia berdasarkan tafsiran matematik. Contohnya jika calon A yang kalah dengan majoriti 1000 undi dapat buktikan wujudnya perlanggaran undang-undang misalnya dakwat tidak kekal di jari pengundi, calon A kena buktikan 1001 pengundi yang dakwat dijari mereka tidak kekal dan kesemua 1001 pengundi itu kena juga dibuktikan telah mengundi dua kali.

Jika tidak dibuktikan meskipun calon A boleh buktikan penggunaan dakwat yang tidak kekal adalah bercanggah dengan undang-undang namun pilihanraya yang langgar undang-undang itu masih dikira sah dan tidak boleh dibatalkan.

Itulah yang hakim-hakim di negara ini akan putuskan. Jika hakim putuskan begitu Najib dan SPR secepat kilat akan berkata “lihatlah mahkamah telah pun memutuskan pilihanraya adalah sah..jadi mengapa Pakatan Rakyat masih tidak puas hati?”

Bagi saya ini satu muslihat licik Umno untuk menggunakan saluran mahkamah untuk menjustifikasi penipuan!!!

Sebab itu saya tegaskan mahkamah atau petisyen bukan jalan penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya. Mahkamah rakyat adalah penyelesaiannya.
Bagi rakyat jika SPR atau undang-undang kata dakwat yang digunakan adalah kekal maka SPR kena pastikan dakwat itu benar-benar kekal. Jika tidak kekal maka SPR tipu. Undang-undang juga tipu.

Inilah perbezaan mahkamah pilihanraya dan mahkamah rakyat. Di mahkamah pilihanraya hakim tidak boleh batalkan pilihanraya meskipun SPR tipu kerana hakim terikat dengan undang-undang yang digubal oleh rejim penipu.

Sebaliknya di mahkamah rakyat keadilannya lebih tulen. Jika SPR dan undang-undang tipu maka pilihanraya yang BN menang adalah pilihanraya tipu. Maka PM dan Menteri yang dilantik juga dikira oleh rakyat dikira sebagai PM penipu dan menteri penipu !!!!

* Penulis adalah peguam yang juga anggota Parlimen Sepang

Sunday, 19 May 2013

Undang-Undang Dan Akta Yang Berkaitan Dengan Pesuruhjaya Sumpah.















1.  AKTA MAHKAMAH KEHAKIMAN 1964

Pesuruhjaya Sumpah

11. (1) Mana-mana Pendaftar dan mana-mana orang yang dilantik

           oleh Ketua Hakim Negara untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah
          (tertakluk kepada apa-apa had yang dinyatakan dalam pelantikannya)
           boleh melakukan segala atau mana-mana perkara yang berikut:

          (a) menerima pengakuan perempuan bersuami dalam segala
               hal yang pengakuan dikehendaki oleh undang-undang
               supaya diambil di hadapan seorang pegawai awam;

           (b) menerima pengakuan ikatan jaminan dan bon jaminan;

            (c) mengendalikan sumpah bagi—

                          (i) justifikasi bagi jaminan;
                          (ii) mengambil apa-apa afidavit atau ikrar;
                         (iii) menerima dan mengambil jawapan, pli, demurer,
                               penolak tuntutan, pengataan atau pemeriksaan manamana
                               pihak atau pihak kepada apa-apa tindakkan.  
                         (iv) pemeriksaan mana-mana saksi atas
                                interogatori atau secara de bene esse atau secara
                                utama atau pada bila-bila masa lain;
                           (v) mengambil sumpah wasi dan pentadbir; dan
                          (vi) mengambil sumpah orang dalam apa-apa tindakan,
                                perkara atau prosiding yang belum selesai atau
                                yang baru hendak dimulakan di mana-mana
                                mahkamah dalam mana-mana bidang kuasanya;
                                dan

             (d) mengambil dan menerima akuan berkanun.

          (2) Ketua Hakim Negara boleh membuat keadah-kaedah bagi
                pelantikan, kelakuan, fi yang hendaklah dikenakan oleh, dan bagi
                segala benda yang bersangkutan dengan, Pesuruhjaya Sumpah dan
                orang yang dilantik olehnya di bawah subseksyen (1).

ULASAN PENULIS

Daripada Seksyen 11(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tersebut telah
memberikan kuasa mutlak kepada Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara
melaksanakan Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 (selepas ini
disebut KKPS 1993) dimana kaedah-kaedah atau peraturan ini mestilah
dipatuhi oleh semua orang yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah
tanpa gagal.

Sekiranya terdapat Pesuruhjaya Sumpah yang melanggar KKPS 1993 dalam
tugas hariannya, maka dia akan berhadapan dengan perkara seperti dibawah mengikut
turutan:
1. Kertas siasatan dibuka dan Pesuruhjaya Sumpah yang diyaki melakukan
    salah laku akan menerima surat tunjuk sebab dan perlu menjelaskan dengan
    sebaik mungkin. Siasatan terperinci dijalankan.
 2.PJS yang tidak dapat memuaskan hati pegawai yang menyiasat boleh di gantung
    tugas dan boleh juga dibatalkan lesen PJS beliau.
3. PJS juga boleh dituduh dimahkamah berdasarkan Kaedah 22 KKPS 1993 dimana
    jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 1000 atau penjara 6 bulan
    atau kedua-duanya.

Pada pendapat saya, sekiranya kita sebagai PJS sentiasa mematuhi kaedah-
kaedah tersebut maka tiada apa yang patut ditakutkan.  Kebanyakkan
PJS yang dibatalkan adalah kerana mencari kekayaan yang segera tanpa
mengindahkan peraturan yang ada.  Ada diantara PJS yang haloba meminta
bayaran satu akuan sumpah RM 10 , pada hal RM 4 maka kerana RM 10
itulah  lesen PJSnya dibatalkan, rugi sepanjang hayat.






2.  UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 13
AKTA AKUAN BERKANUN 1960


Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi membuat (dan
mengambil) akuan berkanun dan bagi maksud yang berkaitan dan
bersampingan dengannya.
[Semenanjung Malaysia—1 Jun 1961, L.N. 154/1961;
Sabah dan Sarawak*—1 Januari 1969, P.U. 488/1968]

Tajuk ringkas

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Akuan Berkanun 1960.

Borang akuan

2. Sah bagi mana-mana Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret,
Pesuruhjaya Sumpah atau, tertakluk kepada seksyen 4 Akta Notari
Awam 1959 [Akta 115], bagi mana-mana notari awam yang
dilantik di bawah Akta Notari Awam 1959, mengambil dan
menerima akuan mana-mana orang yang membuat akuan itu
dengan sukarela dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris
mengikut borang dalam Jadual.


Akuan palsu boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan

3. Akuan yang dibuat menurut peruntukan Akta ini hendaklah
disifatkan sebagai akuan yang disebut dalam seksyen 199 dan 200
Kanun Keseksaan [Akta 574].

Fi

4. Seseorang yang membuat apa-apa akuan menurut peruntukan
Akta ini hendaklah membayar kepada pegawai atau Pesuruhjaya
yang mengambil akuan itu apa-apa fi sebagaimana yang
ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Menteri melalui
pemberitahuan dalam Warta.
Sebutan dalam undang-undang persekutuan Sabah dan
Sarawak mengenai undang-undang yang dimansuhkan

5. Apa-apa sebutan dalam mana-mana undang-undang persekutuan
yang berkuat kuasa di Sabah mengenai Ordinan Akuan Berkanun
Sabah [Bab 138] dan apa-apa sebutan dalam mana-mana undangundang persekutuan yang berkuat kuasa di Sarawak mengenai
Ordinan Akuan Berkanun Sarawak [Bab 52] atau mengenai Akta
Akuan Berkanun 1835 [5 dan 6 Wm. IV, C. 62], United Kingdom,
hendaklah disifatkan sebagai sebutan mengnai akta ini.


JADUAL
[Seksyen 2]

Dalam Bahasa Melayu
BORANG AKUAN

Saya,.............................................................................dengan sesungguh
dan sebenarnya mengakui bahawa..........................................................dan
saya membuat akuan ini dengan kepercayaan bahawa akuan ini benar, serta
menurut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.
Diperbuat dan dengan sesungguhnya diakui oleh
yang tersebut namanya di atas ...........................
di.................................................................................
di Negeri ....................................................................  Tanda tangan deponan
pada............................................................................
................................................................, 20 .............
Di hadapan saya,
...................................................
(Tandatangan Hakim
Mahkamah Sesyen, Majistret
atau Pesuruhjaya Sumpah)




Dalam Bahasa Inggeris
FORM OF DECLARATION

I,................................................................................................................
do solemnly and sincerely declare that .............................................................
........................................................................................................................
and I make this solemn declaration conscientiously believing the same to be
true, and by virtue of the provisions of the Statutory Declarations Act 1960.
Subscribed and solemnly declared by the abovenamed
.............................................................................................
at.......................................................................................... Signature Deponan
in the State of .....................................................................
this...................................................................., 20.............
Before me,
............................................................
(Signature of Sessions Court Judge,
Magistrate or Commissioner
for Oaths)


ULASAN PENULIS

Akta Akuan Berkanun 1960 ada merupakan peraturan seseorang
untuk membuat AKUAN SUMPAH dan format yang betul semada
akuan sumpah tersebut dibuat dalam Bahasa Melayu atau Bahasa
Inggeris.

Tetapi yang lebih penting akuan sumpah tersebut mestilah dibuat
dengan suka rela dihadapan seorang PJS.  Seorang PJS tiada
budubicara untuk membenarkan seseorang deponan (orang yang
angkat sumpah) mewakilkan orang lain atas apa-apa alasan
kecuali mendapat kebenaran dari Bahagian PJS .

Sekiranya ada diantara kita membuat AKUAN PALSU, maka
difinasi akuan palsu itu diterangkan di bawah Sesyen 199 dan
Seksyen 200 dalam Kanun Kesiksaan.  Juga, pembuat akuan
palsu jika sabit kesalahan boleh dihukum dibawah Kanun Kesiksaan.


Akuan palsu atau Keterangan Palsu

S 199 Kanun Kesiksaan
Kenyataan palsu yang dibuat dalam sesuatu akuan yang boleh
diterima di sisi undang-undang sebagai keterangan

S200 Kanun Kesiksaan
Menggunakan sebagai benar sesuatu akuan yang tersebut itu
yang diketahui sebagai palsu

S193 Seksaan bagi keterangan palsu
Barang siapa dengan senghaja memberi keterangan palsu....
.........dalam mana-mana hal lain, hendaklah diseksa dengan
penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, dan
boleh juga dikenakan denda.

Persoalan:
Adakah seorang PJS boleh dikenakan tindakan sekiranya ada
diantara deponan (Orang yang angkat sumpah) telah membuat
akuan palsu dihadapanya ?

Jawapan:
Sekiranya seorang PJS telah mematuhi Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah
dengan betul dan teratur maka PJS yang bertugas tidak dikenakan
apa-apa tindakan.  Mungkin PJS tersebut akan disapina sebagai saksi
di mahkamah sekiranya deponan atau tertuduh tersebut dibicarakan
di mahkamah atas tuduhan akuan palsu tersebut.


Friday, 17 May 2013

Nik Nazmi Didakwa Anjur Perhimpunan Haram Tanpa Kebenaran


Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hadir ke Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya pada Jumaat atas dakwaan berhubung Perhimpunan Program Penerangan Negeri Selangor pada 8 Mei lepas. -FOTO BERNAMA
PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas dakwaan gagal memberi notis 10 hari lebih awal kepada pihak polis sebelum menganjurkan perhimpunaan tanpa kebenaran, 8 Mei lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ, Kelana Jaya dekat sini pada pukul 8.30 malam pada 8 Mei lalu.
Nik Nazmi, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Rozina Ayob.
Peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Azmi memberitahu mahkamah, pihaknya akan memfailkan secepat mungkin permohonan bagi membatalkan pendakwaan ke atas anak guamnya berdasarkan alasan salah guna kuasa kerana pendakwaan itu, lebih bersifat politik.
Nik Nazmi didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berhadapan dengan denda maksimum RM10,000 jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mewakili pasukan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan kes.

    Thursday, 16 May 2013

    Perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah di Putrajaya



    Sekiranya anda memerlukan Akuan Sumpah di Putrajaya
    sila ke Istana Kehakiman, Presint 3 berhadapan dengan
    Perbadanan Putrajaya.
    Perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah di Kaunter Setempat
    Aras satu/ lobi , menempatkan 3 orang Pesuruhjaya Sumpah
    yang "Cepat dan Mesra" pelanggan.  Masa perkhidmatan
    dari 8.30 Pagi- 4.00 Petang. Anda akan dilayan dengan mesra
    dan selesaikan  Akuan Sumpah Anda  kurang  dari 10 minit.
    Jemputlah datang dikaunter yang "Cepat dan Mesra".

    Disamping itu Perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah telah dibuka di Jabatan Pendaftaran Negara, bersebelahan Bangunan Perbadanan Putrajaya.

    Keterangan Empat Tertuduh Kes Bunuh Sosilawati Perlu Ditolak- Timbalan Pendakwaraya


    SHAH ALAM: Keterangan empat tertuduh dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain adalah tidak selamat dan tidak boleh dipercayai, Mahkamah Tinggi diberitahu, Rabu.
    Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Saiful Edris Zainuddin berkata ini kerana keterangan tertuduh keempat bercanggah dengan keterangan tertuduh lain, terutama berhubung isu sama ada Sosilawati dan tiga individu lagi berada di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010, selain pembabitan mereka membunuh sekurang-kurangnya tiga mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.
    "Berikutan itu, soalan yang timbul ialah versi pembelaan yang mana satu benar atau mampu menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
    "Semua keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai, termasuk keterangan tertuduh keempat, oleh itu, mana-mana keterangan mereka yang tidak konsisten dengan kes pendakwaan adalah tidak selamat untuk dipercayai dan perlu ditolak," katanya di akhir kes pembelaan pada perbicaraan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang yang didakwa membunuh Sosilawati serta tiga individu lain.
    Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
    Saiful Edris juga berkata keterangan pendakwaan berhubung isu penemuan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 masih utuh serta perlu diterima oleh mahkamah tanpa sebarang keraguan.
    Beliau turut menggesa mahkamah mengkaji semula bukti berhubung kejadian serupa yang dikemuka dua saksi pendakwaan iaitu Samson Nahar Mohamed Dali dan Usharani Sethuraman.
    Katanya, kedua-dua saksi mengesahkan suami masing-masing iaitu Shafiq Davendran Abdullah dan Allal Kathan Muthuraja telah pergi ke Banting untuk bertemu Pathmanabhan atas urusan perniagaan, dan selepas itu, mereka hilang tanpa dapat dikesan sehingga hari ini.
    Saiful Edris berkata bekas pembantu rumah Pathmanabhan, iaitu Siti Hamidah Karnax juga memberi keterangan beliau ada melihat kedua-dua lelaki di ladang berkenaan dan menyaksikan unggun api besar selepas itu sama seperti kes Sosilawati.
    Beliau juga berhujah terdapat persamaan dalam fakta kedua-dua lelaki bertemu Pathmanabhan di Ladang Gadong seperti Sosilawati dan tiga lagi, yang menyaksikan semua mangsa hilang begitu sahaja sehingga kini. Saiful Edris juga berhujah pihak pendakwaan membuktikan bahawa tujuan Sosilawati ke Banting bertemu Pathmanabhan ialah untuk berbincang soal tanah dan mempercepat pembayaran cek bernilai RM3 juta bagi membolehkan beliau menggunakan wang itu untuk memberi bonus kepada pekerjanya selain kegunaan peribadi sempena sambutan Hari Raya Puasa pada 10 September 2010.
    Beliau berkata berdasarkan keterangan pegawai bank Yvonne Tiong Guat Choo, pada 30 Ogos 2010 (hari Sosilawati dan tiga lagi hilang), Pathmanabhan hanya mempunyai RM1.38 juta dalam akaunnya dan jumlah itu tidak cukup bagi menjelaskan pembayaran cek Sosilawati.
    "Pathmanabhan dan peguamnya (Manjit Singh Dhillon) cuba berhujah bahawa akaun bank Pathmanabhan tidak mempunyai jumlah yang mencukupi kerana akaun itu telah dibekukan atas arahan polis, namun mereka gagal mengemukakan sebarang bukti bagi menunjukkan arahan sedemikian wujud.
    "Tambahan pula, Pathmanabhan hanya ditahan pada 11 September 2010, iaitu dua hari selepas tarikh cek.
    "Kesimpulannya, motif jumlah wang yang tidak mencukupi untuk menjelaskan pembayaran cek merupakan satu alasan kukuh untuk membunuh Sosilawati serta rakan lain dan ia tidak dapat disangkal," katanya.
    Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 21 Mei ini. - BERNAMA
    • Print this story

    Wednesday, 15 May 2013

    Tiada Pembunuhan Kejam Babitkan Sosilawati & Tiga Individu Pada 30 Ogos 2010- Peguambela


    SHAH ALAM: Tidak ada bukti atau keterangan langsung yang menunjukkan terdapat pembunuhan kejam membabitkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi diberitahu, Selasa.
    Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama N.Pathmanabhan, juga berkata tidak ada bukti atau keterangan langsung bagi menunjukkan Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu jutawan itu Kamaruddin Shamsuddin dibunuh empat tertuduh.
    "Tidak ada bukti atau keterangan langsung bahawa mereka mati atau dibunuh pada tarikh, masa serta tempat seperti dinyatakan dalam pertuduhan. Tidak ada seorang pun saksi yang memberi keterangan bersumpah berkaitan mana-mana elemen yang diperlukan untuk membuktikan kes," katanya di akhir kes pembelaan.
    Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
    Manjeet Singh berkata kes pendakwaan hanyalah Sosilawati ke Banting bersama beberapa individu, kononnya ke ladang Pathmanabhan dan mereka tidak pernah kembali.
    Beliau berkata terdapat ramai orang di ladang itu termasuk mereka yang masih tidak dapat dikenal pasti namun DNAnya ada di sana, namun pendakwaan mahu mahkamah mengabaikan perkara itu dan hanya menumpukan perhatian kepada empat tertuduh dan meminta supaya mereka digantung.
    "Tidak ada bukti yang boleh dipercayai dan bebas berkaitan siapa buat apa, bila, di mana atau bagaimana di ladang itu dan jika pendakwaan cuba membuktikannya, mereka gagal berbuat demikian.
    "Mahkamah tidak seharusnya tunduk kepada tuntutan mereka begitu sahaja. Undang-Undang perlu ditegakkan. Undang-Undang dan bukti dalam kes ini mengatakan tidak ada kes yang boleh dipercayai dan ini, saya berhujah, sepatutnya menjadi keputusan yang sah di akhir kes ini," katanya.
    Manjeet Singh juga berhujah kes ini mendapat liputan meluas media yang seolah-olah mempunyai teori mereka sendiri berdasarkan spekulasi berleluasa dan semua tertuduh mempunyai peluang tipis untuk dibicarakan dengan adil.
    Oleh itu, beliau berkata mahkamah perlu mengabaikan pelbagai teori yang disyor dan harus menilai kes itu berdasarkan undang-undang serta bukti.
    "Perkara ini harus diputuskan berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah semata-mata, bukan perkara lain. Tidak juga berdasarkan syak wasangka, lebih-lebih lagi apabila pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan yang begitu rapuh," katanya.
    Manjeet Singh juga menggesa mahkamah mengambil kira keterangan baharu menerusi peguam Roslie Sulle yang mewakili mekanik K. Sarawanan pada 2010, iaitu peguam berkenaan memainkan peranan dalam memanipulasi saksi.
    Sarawanan, 22, dan U. Suresh, 29, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti berkaitan pembunuhan itu.
    "Adakah jenayah berlaku di ladang berkenaan pada malam 30 Ogos 2010? Blog serta tukang ramal nampaknya mengatakan ya, dan pendakwaan membuat spekulasi yang serupa namun malangnya, tidak ada bukti," katanya.
    Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA
    • Print this story

    Friday, 10 May 2013

    Tiga Kemungkinan Punca Kematian William- Pakar Perubatan


    PETALING JAYA: Mahkamah Koroner diberitahu terdapat tiga kemungkinan punca kematian William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang ditemui tersangkut pada sebuah jeti di Pelabuhan Klang, Januari lepas.
    Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Nur Ayutimasery Abdullah, 38, berkata punca kematian kanak-kanak itu kemungkinan disebabkan terkena hentakan kuat di kepala yang boleh menyebabkan kematiannya.
    "Keduanya, dia (William) terjatuh dalam longkang yang berair, lemas dan mati dan ketiganya, mangsa terjatuh ke dalam longkang, terhentak kepala dan mati," katanya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt pada prosiding inkues kematian William di sini Khamis.
    Mayat William, 6, ditemui pada 24 Januari lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
    Bagaimanapun, ketika ditanya selanjutnya oleh Lee sama ada William mungkin mati lemas, saksi inkues ke-12 itu berkata perkara itu tidak boleh berlaku kerana bagi mengesahkan seseorang itu mati lemas, akan terdapat perubahan pada paru-paru seperti berair dan kembung.
    "Selain itu terdapat buih-buih halus yang banyak pada saluran pernafasan sehingga keluar melalui hidung dan mulut tetapi dalam kes ini semuanya tidak terdapat kerana mayat telah mereput," katanya.
    Dr Nur Ayutimasery berkata terdapat tiga kecederaan serius yang dialami William iaitu keretakan pada tengkorak, tulang rusuk kanan dan tulang keting kanan mangsa.
    "Kerentakan pada tengkorak mangsa mungkin berlaku disebabkan hentakan yang kuat oleh objek tumpul dan keras," katanya.

    Thursday, 9 May 2013

    10,000 Pageview Pada Hari ini

    Salam Sahabat PJS,  Hari ini adalah satu sejarah bagi blogspot ini dimana
    telah mencecah 10,000 pageview setelah beberapa bulan blog ini
    dilancarkan.  Blog ini mempuanyi keistimewaanya sendiri dimana
    pembacanya adalah terdiri dari sahabat-sahabat PJS dan orang-orang yang
    sentiasa ingin megenali sesuatu yang baru dalam undang-undang.
    Undang-undang negara ini sentiasa berkembang apabila ditokok tambah
    mengikut perubahan masa dan keadaan dan mestilah diluluskan oleh
    Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

    Nasihat saya:
    Kepada Sahabat-Sahabat yang akan menghadapi peperiksaan maka bersedialah dari sekarang, exam dijangkan pada bulan Julai atau Ogos ini.  Persediaan mestilah mantap dan terbaik barulah kita boleh lulus cemerlang.  Dalam peperiksaan PJS mestilah lulus cemerlang barulah anda dipanggil temuduga.

    Bagi Sahabat yang telah ditemuduga, berdoalah semuga Allah SWT makbulkan segala usaha kita itu.  Keputusan akan keluar tidak lama lagi.  Jangan kita bersusah payah menelefon pejabat PJS menggangu tugas harian  mereka.  Ibarat durian yang telah masak akan gugurlah ia.

    Bagi Sahabat-sahabat yang telah dilantik:
    Patuhilah dengan betul Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah dan ragu-ragu bertanyalah kepada yang lebih senior atau mahkamah sendiri.  Sekali ,Sijil Perlantikkan dibatalkan maknanya anda bukan seorang PJS selama-lamanya kerana anda tidak dibenarkan memohon sekali lagi.

    Admin Remba@pjs

    Monday, 6 May 2013

    Mahkamah Tolak Bantahan Pendakwaan Terhadap Yazid Dan Dua Yang Lain


    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan dua individu yang lain untuk membatalkan pertuduhan mereka.
    Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili ketiga-tiga pemohon.
    Kamardin dalam penghakimannya berkata permohonan ketiga-tiga pemohon itu bukan penyalahgunaan proses mahkamah dan merit terhadap permohonan itu wajar didengar. "Oleh itu, ketiga-tiga pemohon tidak perlu dihalang daripada membawa permohonan ini ke mahkamah," katanya.
    Mahkamah menetapkan 17 Mei depan untuk mendengar hujahan permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan.
    Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala rakannya Halimah Hussein dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim dituduh bersubahat dengan Yazid melakukan kesalahan itu.
    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
    Yazid menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang mana kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
    Terdahulu, Mohamad Hanafiah berhujah permohonan tertuduh itu merupakan satu proses penyalahgunaan mahkamah kerana mereka sepatutnya dibicarakan terlebih dahulu melalui keterangan saksi.
    Amer Hamzah pula berhujah permohonan anak guamnya itu bukan satu permohonan sia-sia atau menyalahguna proses mahkamah. -BERNAMA

    Friday, 3 May 2013

    Pencerobohan Lahad Datu: Tiga Lagi Rakyat Filipina Didakwa


    KUALA LUMPUR: Tiga lagi rakyat Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Beluran di Sabah, masing-masing atas dua pertuduhan berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu.
    Kedua-dua mahkamah mengadakan sidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah di Lahad Datu dan Beluran.
    Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan menganggotai kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
    Dani Ismail dan Saidili Jaharul didakwa di Lahad Datu manakala Pabblo Alie di Beluran. Dani dan Saidili didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 9 Februari dan 9 April 2013 manakala Pabblo di Kampung Muanad, Beluran pada tarikh sama.
    Tiada pengakuan direkod selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di depan Hakim Mahkamah Sesyen Rajalingham S.S. Maniam, yang bersidang sebagai Majistret di Lahad Datu, dan Majistret Elsie Primus di Beluran.
    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dan Hamdan Hamzah.Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 14 Mei sebagai tarikh sebutan kes.
    Setakat ini, 23 rakyat Filipina didakwa berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh kumpulan pengganas yang bersenjata atas pelbagai pertuduhan termasuk melindungi pengganas serta merekrut anggota kumpulan pengganas.
    Seorang anggota polis tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat berhubung aktiviti pengganas.
    Semua kes terbabit juga dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau. -BERNAMA

    Wakil Calon DAP Mengaku Tidak Bersalah Kunci Dua Peti Undi


    KAJANG: Seorang wakil kepada calon DAP bagi kerusi parlimen Serdang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Jumaat atas pertuduhan mengunci dua peti undi selepas proses pengundian awal Selasa lepas.
    Susan Lee Pek Sim, 54, didakwa tanpa kuasa yang sepatutnya telah mengunci dua peti undi itu dengan mangga
    kuncinya sendiri di Dewan Markas Tentera 21, Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) Kajang Utama, Kajang dekat sini, pada 7.15 malam, 30 April lalu.
    Perunding hartanah itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh, namun peguam New Sin Yew yang mewakili Lee memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000.
    Majistret Abdul Jalil Salam Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun ini untuk sebutan kes.
    Pada PRU-13 Ahad ini, kawasan parlimen Serdang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon DAP, Dr Ong Kian Ming dan Datuk Yap Pian Hon daripada Barisan Nasional. - BERNAMA